Categories
NASIONAL

PKR: Kaji dasar sebelum hukum pesalah trafik

nik-nazmi batik 01PETALING JAYA, 22 OGOS: PKR menggesa kerajaan mengkaji secara serius kelemahan dasar sedia ada sebelum mengenalkan sebarang dasar baru yang menekan rakyat.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cadangan membatalkan lesen memandu pesalah trafik yang masih belum menjelaskan bayaran saman akan memberi kesan mendalam kepada golongan bawahan.

Ini terutamanya mereka yang berkerja sebagai pemandu teksi, lori, bas, penghantar surat dan seumpamanya sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

katanya,langkah itu juga akan menyebabkan kesukaran kepada pesalah trafik lain untuk menjalankan sebarang urusan kecemasan atau penting dan juga untuk ke tempat kerja masing-masing.

Akibat dari itu, langkah membatalkan lesen memandu pesalah trafik akan mengakibatkan lebih ramai pengguna jalan raya yang ‘dipaksa’ melanggar undang-undang jalan raya dengan memandu kenderaan tanpa lesen memandu yang sah samada untuk ke tempat kerja atau pun melakukan urusan penting lain.

“Kalau sudah melanggar peraturan jalan raya memang wajar kena saman dan pesalah patut kena bayar dan kita juga memang ada isu keselamatan jalan raya seperti tragedi terbaru Genting Highland, tetapi kita harus kaji dengan terperinci apa kelemahan sistem sedia ada, apakah kelemahannya.

“Okey sekarang kita gantung, tetapi kita bimbang nanti semua akan kena pukul rata sedangkan ada beberapa gred kesalahan, mungkin ada yang serius dan ada juga yang tidak beberapa serius, jadi kerajaan perlu melihat kelemahan dalam sistem sedia ada sebelum membuat dasar baru,” kata Nik Nazmi kepada TV Selangor hari ini.

Nik Nazmi yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor juga menyeru pengguna jalan raya agar tidak melanggar peraturan jalan raya bagi mengelakkan dari terlibat dengan kemalangan atau disaman.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini mencadangkan agar undang-undang jalan raya dipinda bagi membolehkan 1.7 juta individu yang disenaraihitamkan kerana degil membayar saman trafik diambil tindakan lesen memandu dibatalkan.- mza

Leave a Reply

Your email address will not be published.