Categories
NASIONAL

Selangor perkemas usaha tangani keganasan rumah tangga

rodziah pc green 20 jul 01

SHAH ALAM 16 OGOS: Kerajaan Umno BN perlu memaksimum penguatkuasaan undang-undang dalam menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita, kata Rodziah Ismail.

Sebagai kerajaaan Persekutuan, Exco Hal Ehwal Wanita itu, berkata Umno BN harus bersungguh-sungguh membanteras jenayah berkenaan termasuk penguatkuasaan undang-undang.

“Memang bukan mudah tetapi dengan kesungguhan, ia (pencegahan jenayah rumah tangga) pasti dapat dilaksanakan,” katanya pada kenyataan media, semalam.

Beliau mengulas sebaran video berdurasi dua minit 20 saat di media sosial yang memapar kejadian seorang wanita dibelasah suaminya di dalam lif di Pulau Pinang, 12 Ogos lalu.

Video itu dikatakan dimuat naik adik mangsa, Mohd Yunus Ahmad Ramli 31, Selasa lalu selepas kecewa dengan alasan polis yang tidak berbuat apa-apa selepas laporan dibuat.

Suami mangsa, Mohammad Affandi Ismail, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di sebalik kegagalan kerajaan Persekutuan, Rodziah berkata, kerajaan Selangor giat memperkemas usaha pencegahan, perlindungan dan pendakwaan bagi menangani jenayah keganasan terhadap wanita.

“Kita akan laksanakan program polis komuniti di kawasan perumahan, letak kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik, beri peruntukan RM500,000 untuk pertingkat perkhidmatan Pusat Krisis Sehenti (OSCC), selain menambah pusat perlindungan,” katanya.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.