Categories
SELANGOR

Selangor tumpu perbandaran ideal, rebut peluang Greater KL

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03
SUBANG JAYA, 27 OGOS : Kerajaan Negeri mahu menumpukan konsep pembangunan 'Perbandaran Ideal' bagi menggalakkan migrasi dari luarbandar dan antara bandar dalam usaha merebut semua peluang yang dibentangkan Greater Kuala Lumpur(KL)-Bidang Ekonomi Utama Negara(NKEA).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata 'Perbandaran Ideal' dilengkapi ciri-ciri unik dan kreatif yang menggabungkan perumahan pintar, komersil dan rekreasi untuk membina tempat yang sesuai untuk kediaman, perniagaan dan percutian.

"Sejak kebelakangan ini, lebih banyak projek pembangunan hartanah khususnya kediaman di alam semulajadi telah dibangunkan di 
banyak bandar-bandar dan kawasan pinggir bandar di Selangor untuk menyokong pengembangan aktiviti NKEA ini," kata Abdul Khalid 
di Sidang Kemuncak Hartanah dan Perumahan Negara ke-16 di Sunway Piramid Convention Center.

Abdul Khalid juga menegaskan antara ciri penting Perbandaran Ideal adalah memudahkan perjalanan individu ke tempat kerja dan 
pulang ke rumah, sekaligus membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Ciri itu bagaimanapun sebahagian daripada idea keseluruhan Perbandaran Ideal yang bercita-cita untuk meningkatkan kualiti hidup 
rakyat, menjana peluang pekerjaan baru, serta membantu mengawal pencerobohan kawasan pertanian dan hutan simpan.

"Kerajaan Negeri juga akan menaik taraf kemudahan dan infrastruktur yang sedia ada atau memberikan wajah baru kepada bandar atau pinggir bandar yang sedia ada di Lembah Klang dalam memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan dan meningkatkan landskap 
bandar di Greater KL atau Selangor,"ujarnya.

Abdul Khalid menambah perancangan induk dengan strategi ekonomi adalah titik utama kepada kerajaan negeri dalam memastikan 
rangkaian pembangunan pintar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.