Categories
SELANGOR

Skuad bola sepak Selangor tekad selesaikan ‘Misi 33’

bola

SHAH ALAM 14 OGOS: Pasukan Bola sepak Selangor meneruskan keazaman ‘Misi 33’ Piala Malaysia untuk merampas piala itu pada edisi kejohanan kali ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim berkata pemain Selangor berada pada tahap terbaik dengan komitmen tinggi bagi menjayakan misi itu.

“Misi 33 diteruskan walaupun ia tidak diuar-uar supaya tidak memberi tekanan kepada para pemain.

“Pemain faham akan pentingnya Piala Malaysia dan mereka sudah menyatakan akan membuat terbaik dalam kejohanan ini,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Rosman berkata, pasukan Selangor ada peluang cerah untuk merampas Piala Malaysia berdasarkan prestasi semasa apabila menduduki tempat kedua dalam Piala Super 2013.

“Semua pemain sudah bersedia dan berada pada tahap terbaik,” katanya.

Beliau berharap penyokong Selangor terus memberi sokongan padu, malah menyifatkan mereka sebagai pemain kedua belas.

Pada pertandingan Piala Malaysia musim ini, Selangor diletakkan bersama-sama ATM, Sime Darby dan Johor dalam Kumpulan A.

ATM merupakan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Sime Darby (naib juara Liga Perdana) manakala Johor (tangga ketiga Liga Perdana)

Jika menduduki dua tangga teratas, Selangor akan bertemu salah satu wakil dari Kumpulan D yang terdiri dari juara Liga Super Lions XII, Perak, juara Liga Perdana Sarawak dan Kedah.

Selama dua musim berturut-turut, Selangor kandas di separuh akhir apabila tewas dengan agregat 1-4 kepada Terengganu pada 2011 dan tewas dengan agregat 0-3 kepada Kelantan pada 2012.

Kali terakhir Selangor muncul juara Piala Malaysia ialah 2005 apabila menewaskan Perlis 3-0 untuk kejuaraan kali ke-32.

Peluang terbaik Selangor meraih kejuaraan ke-33 hadir pada 2008 apabila mara ke perlawanan akhir tetapi tewas 2-3 kepada Kedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.