Categories
SELANGOR

Skuad bola sepak Selangor tekad selesaikan ‘Misi 33’

bola

SHAH ALAM 14 OGOS: Pasukan Bola sepak Selangor meneruskan keazaman ‘Misi 33’ Piala Malaysia untuk merampas piala itu pada edisi kejohanan kali ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim berkata pemain Selangor berada pada tahap terbaik dengan komitmen tinggi bagi menjayakan misi itu.

“Misi 33 diteruskan walaupun ia tidak diuar-uar supaya tidak memberi tekanan kepada para pemain.

“Pemain faham akan pentingnya Piala Malaysia dan mereka sudah menyatakan akan membuat terbaik dalam kejohanan ini,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Rosman berkata, pasukan Selangor ada peluang cerah untuk merampas Piala Malaysia berdasarkan prestasi semasa apabila menduduki tempat kedua dalam Piala Super 2013.

“Semua pemain sudah bersedia dan berada pada tahap terbaik,” katanya.

Beliau berharap penyokong Selangor terus memberi sokongan padu, malah menyifatkan mereka sebagai pemain kedua belas.

Pada pertandingan Piala Malaysia musim ini, Selangor diletakkan bersama-sama ATM, Sime Darby dan Johor dalam Kumpulan A.

ATM merupakan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Sime Darby (naib juara Liga Perdana) manakala Johor (tangga ketiga Liga Perdana)

Jika menduduki dua tangga teratas, Selangor akan bertemu salah satu wakil dari Kumpulan D yang terdiri dari juara Liga Super Lions XII, Perak, juara Liga Perdana Sarawak dan Kedah.

Selama dua musim berturut-turut, Selangor kandas di separuh akhir apabila tewas dengan agregat 1-4 kepada Terengganu pada 2011 dan tewas dengan agregat 0-3 kepada Kelantan pada 2012.

Kali terakhir Selangor muncul juara Piala Malaysia ialah 2005 apabila menewaskan Perlis 3-0 untuk kejuaraan kali ke-32.

Peluang terbaik Selangor meraih kejuaraan ke-33 hadir pada 2008 apabila mara ke perlawanan akhir tetapi tewas 2-3 kepada Kedah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi Kepada SPR : Jawab Isu Jangan Dolak Dalik – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya diminta supaya jangan mengalihkan isu dari kegagalan suruhanjaya itu dibawah mereka kepada soal siapa lebih jantan.

2. Exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim dilantik menjadi Setiausaha Agung baru persatuan itu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

3. Peluang sepenggal lagi yang diberikan kepada Elizabeth Wong bagi menerajui portfolio Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar akan digunakan sebaik mungkin oleh beliau bagi menjayakan misi mengurangkan ‘carbon emissions’ di Selangor.

4. Dalam tempoh lima tahun ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menaiktaraf dan menyelenggara tapak-tapak pelancongan yang terdapat di negeri ini.

Categories
SELANGOR

Setiausaha FAS Baru Sasar Selangor Juarai Piala Malaysia 2013

rosman ibrahim FAS Selangor 01

SHAH ALAM 25 JULAI : Menjuarai Piala Malaysia 2013 adalah sasaran Setiausaha Agung baru Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim.

Rosman dilantik Setiausaha Agung baru persatuan itu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru pada 1 Julai lalu.

Beliau juga akan bekerjasama dengan Exco Belia Dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi untuk perancangan masa jangka panjang bola sepak Selangor.

Pengumuman perlantikan Rosman dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media di Dewan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini.

Abdul Khalid yang juga Presiden FAS berkata, beliau mengharapkan Rosman dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk memajukan bola sepak di Selangor.

“Kita memilih seorang yang boleh melaksanakan tugas FAS dengan efisien dan efektif.

“Harapan seluruh jawatankuasa FAS dan rakyat Selangor untuk melihat keupayaan Selangor dalam kejohanan bola sepak dan usaha memajukan sukan ini,” kata Abdul Khalid.

Rosman,50, pernah menjadi Penolong Setiausaha Agung FAS dari 2000 hingga 2004 sebelum dilantik sebagai Pengurus Perniagaan FAS untuk mengendalikan stesen minyak Petronas milik persatuan itu sehingga ke hari ini.

Sebelum ini, tiga calon yang disebut-sebut mengisi kerusi panas yang disandang Hamidin sejak 1998 itu ialah dua Penolong Setiausaha Agung FAS ketika ini, Hamdan Hashim dan Raja Restam Azhar Raja Jaafar serta seorang EXCO FAS, Rosman Mohd Ibrahim.