Categories
SELANGOR

MB Selangor ucap takziah atas pemergian bekas MB Kedah (KEMAS KINI)

downloadSHAH ALAM, 26 SEPT: Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak hari ini meninggal dunia pada jam 11.10 pagi.

Hal itu disahkan bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melalui kiriman twiter mengucapkan takziah atas pemergian itu

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat & beroleh maghfirah. Al Fatihah.

“Insya-Allah, YB Iskandar Samad & YB Sallehin Mukhyi akan mengetuai delegasi kerajaan negeri utk melawat & memberikan penghormatan terakhir,” tulisnya.

Sebelum ini keadaan kesihatan Azizan dilaporkan kritikal kerana menghadapi masalah jantung yang serius.

Beliau dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar sejak dipindahkan dari Hospital Pulau Pinang bulan lepas dan terpaksa diberi bantuan kecemasan pukul 3 pagi Rabu.

Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Seri Mahdzir Khalid itu diketahui umum menghidap kencing manis sejak sekian lama dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005.

Pada Ogos 2011, Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan perubatan berkala (susulan) pembedahan lalu.

Beliau menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) dan rawatan menstabilkan tekanan darah tinggi di samping mengawal paras gula.

Pada 6 Mei 2013, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas berasa sakit di kaki dan dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokannya sebelum dilaporkan koma.

Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei.

Beliau adalah Pesuruhjaya PAS Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah.

Beliau menjadi Menteri Besar selepas PAS dan PKR membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum pada 2008.

Pada 1 Jun 2013 beliau antara penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Beliau menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar pada 1966.

Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995).

Beliau adalah Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga sekarang) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga sekarang), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (2000 hingga sekarang) dan mewakili PAS ke MAPEN (1989).

Beliau memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon dari Barisan Nasional.

TVSelangor mengucapkan takziah atas pemergian beliau.

Al-Fatihah.

<center><iframe width=”420″ height=”315″ src=”//www.youtube.com/embed/90YvwwxfErM” frameborder=”0″ allowfullscreen></iframe></center>

Leave a Reply

Your email address will not be published.