Categories
NASIONAL SELANGOR

Pimpinan utama Pakatan ucap takziah pemergian bekas MB Kedah

azizan razak MB Kedah 01

SHAH ALAM 26 SEPT: Pimpinan Pakatan Rakyat mengucapkan takziah atas pemergian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia  di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Jenazah bekas pesuruhjaya PAS negeri akan disembahyangkan di Masjid Markaz Pokok Sena selepas solat Asar dan dijadual dikebumi di Muassasah Darul Ulum jam 5.30 petang ini.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap Azizan seorang sahabat yang baik, pemimpin PAS dan pejuang gigih yang berjasa.

“Takziah buat keluarga dan saudara mara Allahyarham Ustaz Azizan mantan MB Kedah. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah,” katanya melalui twitter.

Turut mengucapkan takziah ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan beroleh maghfirah. Al Fatihah.

?Insya-Allah, YB Iskandar Samad dan YB Sallehin Mukhyi akan mengetuai delegasi kerajaan negeri untuk melawat dan memberikan penghormatan terakhir,? tulisnya.

Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata, pemergian Azizan satu kehilangan besar kepada perjuangan Islam, khususnya kepada PAS.

“Takziah atas kembalinya kerahmatullah YB Dato Seri Ustaz mantan Menteri Besar Kedah (2008-2013).

“Saya berhajat benar untuk menziarahi beliau sebelum ini, tetapi disebabkan masalah kesihatan, niat itu tertangguh. Termasuklah ketika Multaqa Ulama’ baru-baru ini saya berhasrat hadir dan berniat untuk menziarahinya.

“Namun, Allah mentakdirkan ia tidak berlaku disebabkan kesihatan saya. Saya mendoakan semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama orang
yang beriman dan para solihin,” kata Nik Aziz.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam twitternya turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Azizan di atas pemergiaan Azizan.

Semalam, Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau dilapor kritikal selepas mengalami komplikasi jantung yang serius akibat jangkitan kuman.

Azizan, 69, yang bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sejak minggu lalu dikatakan pengsan selepas serangan jantung pertama kira-kira jam 3 pagi semalam dan dipantau rapi.

– FZL

Categories
SELANGOR

MB Selangor ucap takziah atas pemergian bekas MB Kedah (KEMAS KINI)

downloadSHAH ALAM, 26 SEPT: Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak hari ini meninggal dunia pada jam 11.10 pagi.

Hal itu disahkan bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melalui kiriman twiter mengucapkan takziah atas pemergian itu

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat & beroleh maghfirah. Al Fatihah.

“Insya-Allah, YB Iskandar Samad & YB Sallehin Mukhyi akan mengetuai delegasi kerajaan negeri utk melawat & memberikan penghormatan terakhir,” tulisnya.

Sebelum ini keadaan kesihatan Azizan dilaporkan kritikal kerana menghadapi masalah jantung yang serius.

Beliau dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar sejak dipindahkan dari Hospital Pulau Pinang bulan lepas dan terpaksa diberi bantuan kecemasan pukul 3 pagi Rabu.

Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Seri Mahdzir Khalid itu diketahui umum menghidap kencing manis sejak sekian lama dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005.

Pada Ogos 2011, Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan perubatan berkala (susulan) pembedahan lalu.

Beliau menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) dan rawatan menstabilkan tekanan darah tinggi di samping mengawal paras gula.

Pada 6 Mei 2013, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas berasa sakit di kaki dan dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokannya sebelum dilaporkan koma.

Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei.

Beliau adalah Pesuruhjaya PAS Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah.

Beliau menjadi Menteri Besar selepas PAS dan PKR membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum pada 2008.

Pada 1 Jun 2013 beliau antara penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Beliau menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar pada 1966.

Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995).

Beliau adalah Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga sekarang) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga sekarang), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (2000 hingga sekarang) dan mewakili PAS ke MAPEN (1989).

Beliau memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon dari Barisan Nasional.

TVSelangor mengucapkan takziah atas pemergian beliau.

Al-Fatihah.

<center><iframe width=”420″ height=”315″ src=”//www.youtube.com/embed/90YvwwxfErM” frameborder=”0″ allowfullscreen></iframe></center>