Categories
SELANGOR

Bank Negara cadang perkenal Pendidikan Kewangan di sekolah

Digital StillCameraKUALA LUMPUR, 08 OKT : Pendidikan Kewangan akan diterapkan ke dalam mata pelajaran teras di sekolah rendah dan menengah, sebagai langkah ke hadapan untuk meningkatkan kesedaran dan pengurusan kewangan yang cekap di kalangan pengguna negara ini.

Bagi menjayakan usaha itu, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata pihaknya kini dalam perbincangan bersama Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi berkaitan.

“Kita mahu kesedaran pengurusan kewangan ini bermula di usia muda.

“Bermula dengan pengetahuan asas kewangan (Sekolah Rendah) pelajar akan diterapkan dengan budaya menabung, perbelanjaan berhemat dan kepentingan pelaburan (Sekolah Menengah)”, ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bulan Kewangan Berhemat bertemakan ‘Tanggungjawap kewangan bermula dengan saya’ di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di ibu negara, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Lim Hong Tat dan Presiden gabungan Persatuan-persatuan pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason.

Menurut Abu Hassan, menjelang tahun 2014 pendidikan kewangan akan dilaksana di Sekolah Rendah. Manakala bagi Sekolah Menengah pada tahun 2017.

Sebagai permulaan, pendidikan kewangan akan dirangkumkan ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik untuk murid-murid tahun tiga.

Sekirannya percubaan itu berjaya, Abu Hassan tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan Pendidikan Kewangan sebagai salah satu matapelajaran teras di sekolah.

Antara matapelajaran yang akan diterapkan ialah pengurusan wang, kredit dan hutang serta skim perlindungan dan insuran.

Leave a Reply

Your email address will not be published.