Categories
NASIONAL

Kerajaan BN tak tegas punca kontraktor gagal siap projek ikut tempoh

JKR

KUALA LUMPUR 2 OKT: Mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut tempoh perlu dikenakan penalti atau tindakan undang-undang, kata Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata wang pendahuluan juga perlu dituntut dan diserah kepada syarikat kontraktor bertauliah untuk meneruskan projek itu.

“Sebelum kontraktor memulakan kerja, kerajaan mesti meletakkan sejumlah wang sebagai ‘performance bond’ atau jaminan supaya kerja itu dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kalau gagal, menjadi tugas jabatan untuk mengambil semula wang sebagai ganti rugi dan digunakan kepada kontraktor lain bagi menyiapkan projek.

“Kalau tiada tindakan, kontraktor tidak takut untuk memulangkan semula bayaran,” katanya di ruang legar Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk Laporan Ketua Audit Negara 2012 semalam yang melaporkan kegagalan Jabatan Kerja Raya (JKR) menuntut RM4.89 juta daripada bank atau syarikat insurans terhadap tiga projek yang dimansuh.

Laporan itu menyebut baki pendahuluan yang gagal dituntut ialah projek menaik taraf laluan persekutuan 50, Batu Pahat-Ayer Hitam, Kluang, Johor oleh kontraktor Pintasan Jaya Sdn Bhd bernilai RM3.41 juta.

Dua lagi ialah projek pembinaan asrama dan dewan makan di Sekolah Menengah Seri Nering, Besut, Terengganu oleh kontraktor IT Industries Sdn Bhd bernilai RM780,000 dan projek pembinaan perpustakaan dan Kompleks Asrama UiTM Perlis oleh kontraktor YMY Resources Sdn Bhd bernilai RM700,000.

Raja Kamarul Bahrin berkata, kelewatan Kerajaan menuntut semula wang projek itu boleh mengakibatkan kerugian besar, lebih-lebih lagi jika kontraktor itu muflis.

“Ketua Audit Negara menyatakan hampir 50 peratus daripada bon pelaksanaan belum diambil.

“Tindakan tegas perlu diambil supaya nampak kesungguhan kerajaan dalam menangani hal ini kerana ia membabitkan wang rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.