Categories
SELANGOR

Ketua Pembangkang terima elaun dan keistimewaan

mbSHAH ALAM, 10 Okt : Kerajaan Selangor buat pertama kalinya dalam sejarah negeri ini akan memberi elaun dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS) sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam kerajaan demokrasi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata langkah ini merupakan pengiktirafan kepada peranan Ketua Pembangkang sebagai komponen penting semak dan imbang (check and balance) kepada kerajaan pemerintah sedia ada.

Dengan ini, Ketua Pembangkang menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan. Pembayaran elaun ini sejajar dengan imbuhan yang diberi kepada Ketua Pembangkang di Parlimen di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

?Kepentingan Ketua Pembangkang dapat dilihat seperti keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang Undang-Undang dibacakan dan keutamaan bahas usul Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor selepas Dato Menteri Besar pada persidangan Dewan Negeri Selangor,? kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN).

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang 9 Oktober itu menimbangkan dan meluluskan keistimewaan tambahan itu yang akan dilaksanakan di bawah Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas ia dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke -13 yang dijangka akan mula bersidang pada 19 November depan.

?Ia juga selari dengan hasrat kerajaan Pakatan menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi kesama-rataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat,? katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.