Categories
NASIONAL

Naik taraf klinik 1Malaysia, bukan hanya jadi ‘klinik panadol’

shamsul-iskandar-pkr(1)

SHAH ALAM 30 OKT :  Kerajaan Pusat perlu menaiktaraf klinik 1Malaysia di seluruh negara dengan perkhidmatan lain agar tidak hanya dianggap sebagai ‘klinik panadol’ semata-mata.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, klinik 1Malaysia hanya mempunyai seorang pegawai penolong pegawai perubatan yang hanya memeriksa demam dan selsema.

Sepatutnya, klinik berkenaan dilengkapi kemudahan untuk mengesan wabak berbahaya seperti demam denggi.

Beliau memberi alasan, ramai pengidap demam denggi di kawasannya yang terpaksa berulang-alik ke klinik itu tetapi wabak denggi itu tidak dikesan ? sehinggalah pesakit tersebut meninggal dunia.

“Di kawasan saya, ada (pengidap) wabak denggi ramai yang telah mati. Ada klinik satu Malaysia. Demam pergi klinik, dapat panadol, pergi lagi dapat panadol. Hari ketiga tak datang dah, sebab dah meninggal… Kesannya besar.

“Klinik pada nama sahaja, (selepas ini) nak tambah lagi 50 klinik. Tapi tidak ada kelengkapan mencukupi apatah lagi klinik ini bagi (kumpulan) miskin bandar yang tidak mampu nak pergi kesihatan yang jauh, tak mampu,” katanya bagi membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat.

Kata Shamsul Iskandar, klinik 1Malaysia yang terletak dalam kawasan berisiko tinggi penularan wabak denggi perlu dinaiktaraf untuk mengesannya.

“Saya ingin mencadangkan supaya ada ujian (kesan) denggi segera di kawasan ada wabak… Kalau itu perkara yang baik, apa salahnya, untuk rakyat,” katanya dipetik dari Malaysiakini.

-EZY-

Leave a Reply

Your email address will not be published.