Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemansuhan AES: Jangan kelirukan rakyat

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 23 OKT : Cadangan memansuhkan saman tertunggak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hanya menambahkan kekeliruan rakyat yang sudah sedia terbeban.

Idea Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu didakwa tidak adil kepada rakyat apabila bercadang membatalkan saman yang dikeluarkan sebelum 18 September lalu dan hanya mengurangkan kompaun daripada RM300 kepada RM150 selepas tarikh berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Zulhazmi Sharif, berkata kerajaan harus menunggu sehingga kajian menyeluruh berkenaan pelaksanaan AES oleh Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES selesai, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan.

“Cadangan terbabit adalah pra matang dan tidak adil. Hal ini kerana kajian menyeluruh berkenaan pelaksaan AES masih belum selesai dan tidak lengkap. Pengumuman itu hanya mahu menyedapkan hati rakyat yang sudah sedia terbeban dan keliru dengan pelaksanaan AES, sejak 22 September 2012,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Hishamuddin berhubung terdapat beberapa pilihan lain akan diusulkan Kementerian Pengangkutan kepada kabinet bagi memberi keadilan dan kepentingan awam berkenaan isu saman AES bertarikh sebelum 18 September lalu.

Pada sidang Dewan Rakyat semalam, kementerian berkenaan menyatakan sebanyak 882,298 saman AES dikeluarkan dengan 91,457 daripada jumlah itu sudah dibayar membabitkan kutipan RM27.4 juta, sehingga 8 Oktober lalu.

Sehubungan itu, Zulhalmi berkata, semua saman yang dikeluarkan sejak 22 September lalu perlu dibatalkan dan keseluruhan pelaksanaannya dihentikan sehingga kajian oleh jawatankuasa berkenaan selesai, jika AES hendak dibatalkan.

“Apabila semua saman dibatalkan, maka jumlah bayaran kompaun dan denda yang sudah dibayar wajib dipulangkan kepada penerima saman. Sehingga kini, BN masih gagal memberikan maklum balas terhadap cabaran saya untuk membuktikan wujudnya sebaris ayat di dalam saman AES atau Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyatakan saman dan kompaun wajib dibayar.

“Jika ada, saya akan bayar semua saman, tetapi kerajaan perlu membatalkan semua saman dan pulangkan wang yang sudah dikutip apabila terbukti apa yang didakwa ini benar,” katanya. -NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.