Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 10 SOP dikuat kuasa dalam fasa endemik

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan akan mengurangkan 181 tatacara operasi piawai (SOP) mengawal penularan Covid-19 kepada 10, yang turut membabitkan kebenaran rentas negeri.

Mnteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata langkah itu bagi memudahkan orang ramai, golongan industri dan penguat kuasa memahaminya susulan peralihan ke fasa endemik dijangka Oktober.

Menurutnya SOP berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat kuartet menteri Covid-19 membabitkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

“Kelonggaran baharu sudah dipersetujui secara prinsip, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan umum dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Hishamuddin berkata kerajaan juga sedang mempertimbang bagi memberi kelonggaran tambahan dalam sektor pelancongan dan membenarkan pembukaan gimnasium.

“Namun kerajaan akan melakukan penilaian risiko terlebih dahulu, contohnya bagi sektor pelancongan harus dibuktikan projek perintis di Langkawi tidak menyebabkan penularan.

“Sekiranya semua baik baru kita buka gelembung pelancongan lain pula, penandanya arasnya kes Covid-19 terkawal dan hampir semua penduduknya perlu mendapat vaksin,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Menteri sahkan rancangan had jangka hayat kereta, motif kutip cukai

Oleh : Rafizi Ramli

Datuk Seri Hishamuddin Hussin semalam dipetik sebagai berkata “kerajaan mungkin perlu menggunakan cadangan yang sedia ada di samping mencari mekanisme untuk tidak membebankan rakyat” menguatkan lagi spekulasi bahawa keputusan untuk melaksanakan had jangka hayat kereta sudah hamper dibuat.

Alasan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan demi keselamatan rakyat di jalanraya nampak dangkal tanpa bukti yang kukuh bahawa majoriti kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kenderaan yang berusia lebih 12 tahun.

Tidak ada satu keterangan saintifik dan empirikal pun setakat ini yang menunjukkan risiko kereta yang berusia 12 tahun naik mendadak berbanding kereta yang berusia 11 tahun.

Malah, dalam keadaan pelbagai faktor lain yang mempengaruhi kemalangan seperti keadaan jalanraya yang tidak selamat, papan tanda yang mengelirukan, sikap pemandu yang tidak berwaspada, sistem penggajian pemandu bas yang tidak mementingkan keselamatan dan lain-lain – alasan untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta demi keselamatan jalanraya nampak remeh dan tidak ikhlas.

Saya mengesyaki bahawa alasan sebenar Barisan Nasional mahu melaksanakan had jangka hayat kereta adalah untuk mengutip cukai GST yang bakal dilaksanakan.

Setiap urusniaga pembelian dan penjualan kereta (baru atau terpakai) akan dikenakan GST, maka lebih kerap rakyat bertukar kereta lebih banyaklah GST yang akan dikutip.

Rakyat yang majoriti mengundi PR (52%) terus dihukum oleh kerajaan minoriti BN melalui dasar-dasar yang menambahkan beban sara hidup demi membiayai keborosan dan ketirisan BN.

*Rafizi adalah Ahli Parlimen Pandan dan Pengarah Strategi PKR

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor sasar 35,000 unit rumah mampu milik dalam lima tahun – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 23102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Selangor mensasarkan pembinaan sebanyak 35,000 unit rumah mampu milik (RMM) dalam tempoh lima tahun akan datang.

2. Cadangan memansuhkan saman tertunggak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hanya menambahkan kekeliruan rakyat yang sudah sedia terbeban.

3. Pakatan Rakyat (PR) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan himpunan aman membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sempena pembentangan Belanjawan 2014, pada 25 Oktober ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemansuhan AES: Jangan kelirukan rakyat

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 23 OKT : Cadangan memansuhkan saman tertunggak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hanya menambahkan kekeliruan rakyat yang sudah sedia terbeban.

Idea Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu didakwa tidak adil kepada rakyat apabila bercadang membatalkan saman yang dikeluarkan sebelum 18 September lalu dan hanya mengurangkan kompaun daripada RM300 kepada RM150 selepas tarikh berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Zulhazmi Sharif, berkata kerajaan harus menunggu sehingga kajian menyeluruh berkenaan pelaksanaan AES oleh Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES selesai, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan.

“Cadangan terbabit adalah pra matang dan tidak adil. Hal ini kerana kajian menyeluruh berkenaan pelaksaan AES masih belum selesai dan tidak lengkap. Pengumuman itu hanya mahu menyedapkan hati rakyat yang sudah sedia terbeban dan keliru dengan pelaksanaan AES, sejak 22 September 2012,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Hishamuddin berhubung terdapat beberapa pilihan lain akan diusulkan Kementerian Pengangkutan kepada kabinet bagi memberi keadilan dan kepentingan awam berkenaan isu saman AES bertarikh sebelum 18 September lalu.

Pada sidang Dewan Rakyat semalam, kementerian berkenaan menyatakan sebanyak 882,298 saman AES dikeluarkan dengan 91,457 daripada jumlah itu sudah dibayar membabitkan kutipan RM27.4 juta, sehingga 8 Oktober lalu.

Sehubungan itu, Zulhalmi berkata, semua saman yang dikeluarkan sejak 22 September lalu perlu dibatalkan dan keseluruhan pelaksanaannya dihentikan sehingga kajian oleh jawatankuasa berkenaan selesai, jika AES hendak dibatalkan.

“Apabila semua saman dibatalkan, maka jumlah bayaran kompaun dan denda yang sudah dibayar wajib dipulangkan kepada penerima saman. Sehingga kini, BN masih gagal memberikan maklum balas terhadap cabaran saya untuk membuktikan wujudnya sebaris ayat di dalam saman AES atau Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyatakan saman dan kompaun wajib dibayar.

“Jika ada, saya akan bayar semua saman, tetapi kerajaan perlu membatalkan semua saman dan pulangkan wang yang sudah dikutip apabila terbukti apa yang didakwa ini benar,” katanya. -NFN-

 

Categories
SELANGOR

Kekalahan Mukhriz bukti ahli Umno tolak Tun Dr Mahathir

mukhriz umnoSHAH ALAM 22 OKT : Kekalahan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, merebut jawatan Naib Presiden Umno disifatkan bukti jelas penolakan ahli parti itu terhadap pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata kegagalan Mukhriz memenangi jawatan di peringkat tertinggi Umno itu memberi isyarat bahawa wujud di kalangan ahli parti tidak senang dengan pengaruh bapanya.

Katanya, kredibiliti Mukhriz masih diragui ahli Umno kerana beliau tidak merasai ujian seperti yang dihadapi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah cuba diusir Mahathir ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

“Kita lihat majoriti ahli Umno menolak Mukhriz dan secara tidak langsung menolak Tun Mahathir. Hal ini memperlihatkan pengaruh Tun Mahathir sudah tidak mendapat tempat di kalangan ahli walaupun jasa beliau cukup besar untuk Umno.

“Mukhriz masih belum teruji dengan sebarang bentuk situasi dan membuktikan beliau masih diragui oleh ahli Umno. Selain itu, kita nampak kekuatan Tun Mahathir sebelum ini tidak lagi mampu memberi keyakinan kepada ahli untuk memilih anaknya memegang jawatan di peringkat tertinggi parti,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Pada pemilihan tertinggi Umno baru-baru ini, ahli Umno sebulat suara mengekalkan penyandang  jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Sementara itu, Fariz berpandangan pertembungan ‘battle of proxy’ di antara dua pemimpin muda Umno itu akan berterusan untuk tempoh yang panjang kerana sudah pasti Mukhriz tidak mahu ketinggalan bersaing dengan Menteri Belia dan Sukan itu.

Katanya, pertembungan antara dua pemimpin muda itu akan menyebabkan perpecahan yang berlaku dalam Umno menjadi semakin besar dan parah.

“Pertembungan ini akan terus berlaku dan akan menjadi bibit perpecahan di dalam Umno. Tidak ada tokoh hebat yang mampu membawa parti itu ke arah yang lebih baik daripada senarai pimpinan yang dipilih dalam keseluruhan pemilihan Umno kali ini,” katanya lagi.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Penganalisis : tiada harapan transformasi dalam Umno

Dr-Maszlee

SHAH ALAM, 20 OKT: Rakyat tidak boleh mengharapkan sebarang perubahan politik lebih matang daripada Umno apabila ketiga-tiga penyandang Naib Presiden parti itu terus mempertahankan kerusinya masing-masing.

Kejayaan Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam perebutan enam penjuru itu  membuktikan kegagalan Umno untuk berubah sekaligus menjadikan slogan meremajakan Umno gagal direalisasikan.

Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik, berkata ini berlaku apabila muka-muka lama dalam jawatan nombor tiga parti itu dijangka mengekalkan gaya dan pendekatan politik lama masing-masing yang semakin ditolak majoriti rakyat.

“Tiada apa perubahan yang boleh diharapkan bagi sesetengah orang yang mahu melihat perubahan politik dengan kekalnya muka lama, wacana lama, memang tiada apa yang boleh diharapkan dari Umno,” kata Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kepada TVSelangor.

Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri sebelum ini dilihat gemar bertindak agresif sehingga melampaui batas dalam cubaan menolak dakwaan pihak pembangkang yang menyentuh isu-isu di bawah kementerian beliau.

Antaranya termasuklah reaksi beliau dalam isu kehilangan senjata api milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), isu kejadian tembak menembak antara polis dan penjenayah dan isu ‘samseng kenduri-kendara’.

Sementara itu, Hishamuddin juga dilihat gagal bertindak wajar dalam isu Perhimpunan Aman BERSIH 3.0 ketika beliau menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Manakala bagi kerusi Majlis Tertinggi yang turut menyaksikan majoriti muka lama yang mempunyai kedudukan dalam kabinet juga dilihat semakin menguatkan teori tersebut.

“Mereka mempunyai jawatan dalam kabinet mempunyai akses lebih besar terhadap media, manakala orang baru walaupun membawa agenda perubahan yang positif sukar mendapat liputan, akhirnya ditenggelamkan populariti pemimpin lama ini.

“Dalam soal ini, media juga kena adakan anjakan pradigma, ini terpakai kepada semua parti,” kata Dr Maslee lagi.

Dalam perebutan jawatan Majlis Tertinggi Umno semalam, hampir kesemua pemenang merupakan muka lama dalam Umno termasuk mereka yang menjawat jawatan Menteri dan Timbalan Menteri atau sekurang-kurangnya Ahli Parlimen.

Categories
NASIONAL

Rasuah dalam Umno sudah lumrah

politik-wang

SHAH ALAM 20 OKT : Pengakuan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan rasuah adalah lumrah yang diraikan oleh peringkat akar umbi hingga ke kepimpinan tertinggi Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng menegaskan mana-mana parti politik yang membudayakan politik wang seperti lubuk perasuah dan pemecah amanah.

“”Sistem rasuah ini sudah lama berlaku dan lihatlah kesannya kepada rakyat sekarang dan ia menjadi tragedi kepada negara,” kata Jui Meng.

chua jui meng -wacanaJui Meng adalah bekas Naib Presiden MCA dan menyertai PKR pada 2009. Meninggalkan Barisan Nasional dan budaya politik gagasan itu menyebabkan beliau dilucut gelaran Dato’ Seri.

Dr Mahathir baru-baru ini berkata rasuah masih berleluasa dalam pemilihan Umno dan ahli-ahlinya yang mengundi didorong karenah politik wang.

“Saya sendiri semasa bertanding di peringkat bahagian Umno terpaksa menyalurkan RM200 seorang. Jadi anda boleh bayangkan berapa banyak yang telah dihabiskan sehingga saya menjadi Perdana Menteri,” kata beliau.

Sebelum ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, berkata maklum-balas yang diterima pihaknya mendapati wang diagihkan di program-program khas yang dianjurkan untuk Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Calon yang terpilih untuk jawatan kanan dalam Umno nanti akhirnya akan diberi portfolio menteri, dimana mereka akan terlibat dalam membuat keputusan keatas projek-projek mega.  Soalnya adalah adakah projek-projek ini berdaya maju, atau hanya sebagai imbalan kepada pihak yang membiayai kempen-kempen beli undi itu?” kata Akhbar.

Sementara itu, Jui Meng berkata beliau tidak yakin kepimpinan Barisan Nasional dapat membanteras politik wang. Beliau juga berpendapat sistem pemilihan satu ahli satu undi yang diamalkan PKR lebih berkesan dalam melawan salahlaku itu.

“Umno tidak boleh lari daripada gejala politik wang walaupun sistem pemilihan yang dilaksanakan dengan menambah perwakilan dilakukan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir?

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir

SHAH ALAM, 17 OKT: Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dijangka tersingkir daripada persaingan merebut kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan dalam Pemilihan Umno 2013.

Antara faktor penyumbang kekalahan Hishamuddin adalah kerana gagal mencapai prestasi diharapkan Umno baik sebagai Naib Presiden Umno mahupun sebagai Menteri Kabinet.

Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata kemenangan Hishamuddin dalam Pemilihan Umno sebelum ini dibantu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan sepupu beliau.

Selain Hishamuddin, turut dijangka tewas dalam perebutan enam penjuru itu, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“Saya tidaklah boleh meramalkan dengan tepat tetapi saya boleh katakan beberapa orang yang lama itu dalam Umno semakin tidak disenangi banyak pihak dalam Umno dan luar Umno seperti Hishamuddin, Isa Samad dan Ali Rustam.

“Ali Rustam sendiri tidak menang di Melaka, Isa Samad pernah dikenakan tindakan disiplin manakala Hishammuddin dalam pemilihan Umno yang lalu pernah dikatakan tidak popular tetapi diselamatkan Najib,” ujar pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata tiga calon lain, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dijangka menang dalam perbezaan undi kecil.

“Bagi mereka yang menang mereka tidak lagi berkedudukan seperti pemimpin Umno sebelum ini, pemimpin dahulu, apabila menang mereka dianggap sebagai pemimpin yang bukan sahaja mencorak Umno tetapi juga mencorak dalaman BN dan juga negara.

“Dahulu bila menang dalam Umno, parti-parti komponen lain dalam BN seperti MCA, MIC sujud dan pembangkang pula, suara mereka tidak diambil kira kerana tidak mempunyai sokongan majoriti pada masa itu.

Tetapi sekarang Pakatan Rakyat memperolehi lebih 50 peratus sokongan rakyat, menjadikan mereka lebih kuat dari Umno,” ujar Mohamad lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Barisan Exco Selangor Angkat Sumpah Khamis ini – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 27052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Upacara angkat sumpah jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor akan diadakan Khamis ini. Majlis tersebut akan dilaksanakan pada jam 9 pagi di Balairong Seni, Istana Alam Shah, Klang

2. PKR hari ini mendedahkan bukti terdapat kejadian bekalan elektrik putus (blackout) semasa pengiraan undi di sebuah sekolah bagi kerusi Parlimen Kulim Bandar Baru, Kedah, dalam pilihanraya ke-13 yang lalu.

3. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein digesa menubuhkan satu jawatankuasa audit bebas bagi menyiasat perkembangan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

4. Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak semua usul melantik pegawai di syarikat berkaitan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berdasarkan kepada keanggotaan parti.

5. Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan dilantik pegawai perhubungan politik bagi membantu Menteri Besar Selangor mengendali dan menangani hal-ehwal politik dalaman negeri.

6. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik kewujudan portfolio perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Categories
SELANGOR

PKR: Kadar Jenayah Cemas, Menteri Perlu Respon

PETALING JAYA,29 JUN : Ketika Menteri Dalam Negeri mendakwa kadar jenayah di Malaysia turun dan antara negara paling selamat diduduki tetapi laporan media mendedahkan sebaliknya.

Oleh itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesa Menteri bertanggungjawab Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan polis menjawab dengan penuh tanggungjawab berhubung rungutan rakyat tentang peningkatan kadar jenayah.

Katanya, insiden ragut di Mid Valley Megamall minggu lalu, penculikan dan kegananasan terhadap Teoh Soo Kim seorang guru berusia 51 tahun dan penculikan kanak-kanak warga Belanda, Nayati Moodliar membangkitkan persoalan serius berhubung keganasan terhadap wanita.

“Jenayah perlu diukur kepada sejauh mana rakyat merasa selamat.Pada saat ini mereka(rakyat) tidak merasa selamat,”kata Wan Azizah.

Dr Wan Azizah mencabar kenyataan berkenaan indeks jenayah di negara ini sudah turun sedangkan realitinya rakyat kebanyakkannya berkongsi pandangan bahawa kadar jenayah di negara ini pada tahap mencemaskan.

“Rakyat tidak dapat menumpukan kepada aktiviti pembangunan dan ekonomi seandainya mereka tidak merasa selamat.

“Keselamatan merupakan tanggungjawab utama mana-mana kerajaan,dan pengaruh undi mereka juga bergantung kepada mana-mana pihak mana yang mampu untuk menjamin keselamatan mereka,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.