Categories
NASIONAL

Pesalah Laporan Ketua Audit Negara patut bayar balik kerugian

auditSHAH ALAM 10 OKT: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed mahu ketua jabatan bertanggungjawab terhadap hasil Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Beliau mencadangkan Kerajaan Pusat meminda undang-undang bagi mengelakkan pesalah yang menyebabkan ketirisan, terlepas.

“Perkara ini kena siasat. Jika bersalah minta mereka bayar balik sebab itu duit rakyat. Perkara itu sepatutnya diambil tindakan pada peringkat pekerja dan ketua jabatan.

“Jangan serahkan bulat-bulat pada SPRM,” katanya pada Wacana Sinar yang bertajuk Laporan Audit: Tiris atau Terlepas Pandang.

Abu Kassim turut mencadangkan kerajaan mewujudkan sistem pembelian barangan secara selaras untuk digunapakai oleh setiap jabatan.

“Kerajaan perlu buat pangkalan data untuk semua jabatan guna harga pasaran yang sama. Jangan sampai satu barang harga naik berganda-ganda.

“Ini yang perlu kerajaan ubah. Kalau tahu harga itu tidak munasabah, jangan ambil. Cari harga lain,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendapati banyak ketirisan urus tadbir kewangan dalam kementerian, badan berkanun dan kerajaan negeri.

Antaranya ialah polis kehilangan aset berjumlah RM1.33 juta termasuk pistol dan kementerian rugi RM34.5 juta dalam pembekalan makanan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Bagaimanapun, Abu Kassim enggan mengulas lanjut mengenai tindakan SPRM yang hanya membuka 15 kertas siasatan sedangkan kes ketirisan dalam laporan itu jauh lebih banyak.

Sebelum ini,  Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa SPRM  membuka lebih daripada 15 kertas siasatan memandangkan terlalu banyak pembaziran dan ketirisan dilapor.

Ketua Pembangkang itu turut menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh ke atas semua kes penyelewengan serta pembaziran dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

– FZL

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.