Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar jumpa KP SPRM petang esok

SHAH ALAM, 21 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bertemu dengan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok.

Pertemuan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan Datuk Seri Azam Baki dijangka jam 3 petang.

Perbincangan itu dipercayai ada kaitan dengan dakwaan ahli-ahli parlimennya cuba dirasuah agar mengalih sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Saya percaya usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa serta kedudukan adalah isu serius dan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk dalam kalangan pembangkang dan masyarakat madani.

“Semoga usaha ini menjadi titik mula ke arah Malaysia yang lebih baik, Inysa-Allah,” kata ketua pembangkang menerusi Facebook pagi ini.

KEADILAN sebelum ini mendakwa agensi kerajaan termasuk SPRM digunakan mengugut ahli-ahli parlimennya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ambil keterangan Latheefa, bantu siasatan rakaman suara

PUTRAJAYA, 16 JAN: Sepasukan polis hari ini berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bagi mengambil keterangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya bagi membantu siasatan berhubung rakaman perbualan yang didedahkan suruhanjaya itu.

Seramai 10 pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 2.30 petang. Mereka tiba dalam empat kereta Proton Preve berasingan.

Difahamkan, mereka akan merakamkan keterangan Latheefa bagi membantu siasatan selepas SPRM pada 8 Januari lepas, mendedahkan sembilan rakaman audio perbualan berdurasi 45 minit, yang berlaku 5 Januari hingga 29 Julai 2016, antaranya dipercayai melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata pihaknya telah menerima kesemua sembilan set rakaman yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi dipercayai melibatkan Najib dan beberapa individu lain itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM tidak tolak wujud unsur rasuah dalam aktiviti seludup hasil hutan

PETALING JAYA, 4 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan wujud unsur rasuah dalam aktiviti penyeludupan hasil hutan dan pemburuan haiwan liar yang berleluasa di beberapa negeri, kata Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya.

Beliau berkata pihaknya banyak menerima laporan berhubung isu penyeludupan dan pemburuan haiwan liar, namun enggan memberi pendedahan lanjut termasuk negeri terlibat kerana ia akan mengganggu siasatan.

“Ya, SPRM ada menerima banyak laporan, semua ini (penyeludupan dan memburu haiwan) tidak akan berlaku jika tiada rasuah.

“Pihak saya ketika ini sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membanteras kegiatan sedemikian,” katanya ketika ditemui media pada Seminar Etika dan Integriti Perniagaan: Mengembangkan Perniagaan Menerusi Amalan Beretika di sini, hari ini.

Pada 28 November lepas, Perhilitan dan PDRM mendedahkan 63 orang termasuk 48 warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah dari 3 September hingga 16 November kerana dipercayai terlibat dalam jenayah hidupan liar.

Tangkapan itu termasuk empat warga tempatan yang ditahan di Pasir Mas, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah apabila pihak berkuasa merampas gading gajah, tanduk rusa dan kulit binatang liar yang bernilai ratusan ribu ringgit.

Pada Oktober lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan orang kenamaan atau VVIP adalah antara yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan pemburuan haram di sekitar hutan di Semenanjung Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Pendengaran lucut hak harta FORT 26 November

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT) bersetuju untuk melucutkan hak ke atas wang RM407,011.46 yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memaklumkan mahkamah bahawa tiada peguam atau wakil daripada pihak yayasan hadir hari ini.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran pewartaan dan notis pihak ketiga telah disiarkan pada 10 September lepas.

“Pada 9 Julai lalu pihak yayasan telah menghantar surat kepada Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu persetujuan untuk melucut hak harta itu,” katanya di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff.

Bagaimanapun, Hakim Rozana berkata, beliau mahu wakil daripada pihak yayasan hadir pada prosiding kes itu dan menetapkan 26 November bagi pendengaran permohonan melucut hak wang itu.

Sementara itu, bagi kes lain, peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor memberitahu media bahawa Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 Disember untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi meminda notis usul lucut hak wang daripada badan itu.

“Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis pada 2 Disember ini,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Nik Haslinie Hashim.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM677,872.55 yang disita SPRM tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pihak pendakwaan menfailkan notis usul bagi memohon melucut hak ke atas wang yang disita daripada kedua-dua entiti itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pesalah Laporan Ketua Audit Negara patut bayar balik kerugian

auditSHAH ALAM 10 OKT: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed mahu ketua jabatan bertanggungjawab terhadap hasil Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Beliau mencadangkan Kerajaan Pusat meminda undang-undang bagi mengelakkan pesalah yang menyebabkan ketirisan, terlepas.

“Perkara ini kena siasat. Jika bersalah minta mereka bayar balik sebab itu duit rakyat. Perkara itu sepatutnya diambil tindakan pada peringkat pekerja dan ketua jabatan.

“Jangan serahkan bulat-bulat pada SPRM,” katanya pada Wacana Sinar yang bertajuk Laporan Audit: Tiris atau Terlepas Pandang.

Abu Kassim turut mencadangkan kerajaan mewujudkan sistem pembelian barangan secara selaras untuk digunapakai oleh setiap jabatan.

“Kerajaan perlu buat pangkalan data untuk semua jabatan guna harga pasaran yang sama. Jangan sampai satu barang harga naik berganda-ganda.

“Ini yang perlu kerajaan ubah. Kalau tahu harga itu tidak munasabah, jangan ambil. Cari harga lain,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendapati banyak ketirisan urus tadbir kewangan dalam kementerian, badan berkanun dan kerajaan negeri.

Antaranya ialah polis kehilangan aset berjumlah RM1.33 juta termasuk pistol dan kementerian rugi RM34.5 juta dalam pembekalan makanan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Bagaimanapun, Abu Kassim enggan mengulas lanjut mengenai tindakan SPRM yang hanya membuka 15 kertas siasatan sedangkan kes ketirisan dalam laporan itu jauh lebih banyak.

Sebelum ini,  Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa SPRM  membuka lebih daripada 15 kertas siasatan memandangkan terlalu banyak pembaziran dan ketirisan dilapor.

Ketua Pembangkang itu turut menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh ke atas semua kes penyelewengan serta pembaziran dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

– FZL

 

Categories
SELANGOR

PKNS Anjur Persidangan Integriti 8 Julai

integriti

SHAH ALAM 28 JUN : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menganjurkan persidangan “A Conference On Integrity And Good Corporate Governance In Public And Private Sector” di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini pada 8 Julai depan.

Pengurus Integriti, S Normalis Abd Samad berkata, persidangan sehari bakal dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Antara topik yang akan dibincangkan ialah bagaimana elemen integriti dapat membantu dalam kejayaan sesebuah organisasi mahupun syarikat.

Menurutnya, PKNS mensasarkan penyertaan seramai kira-kira 600 peserta daripada sektor awam dan swasta dalam persidangan berkenaan.

“Persidangan ini adalah yang kedua dianjurkan PKNS dengan persidangan pertama pada 11 Jun tahun lalu.

“Untuk kali ini kita menjemput ahli panel dari dalam dan luar negara. Antaranya bekas Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong, Daniel Ming Chak Li.

“Kita mengharapkan kehadiran beliau akan memberikan respon yang baik terhadap persidangan ini.

“Manakala ahli panel utama adalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed,” katanya dalam sidang media di sini.

Selain itu, persidangan tersebut turut menampilkan panelis lain seperti Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar; Pengarah NKRA Menentang Rasuah, Datuk Hisham Nordin; Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr Mohd Tap Salleh; Gabenor Lembaga Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Margaret Chin; Pengarah Eksekutif, Ketua Setiausaha Undang-Undang dan Syarikat Korporat Nestle (M) Berhad, Mohd Shah Hashim serta Penyunting Laporan Penyiasatan Khas The Sun, R Nadeswaran.

Normalis berkata, PKNS adalah antara agensi pertama yang menubuhkan bahagian integriti pada Jun tahun lalu dan melaksanakan inisiatif diarahkan SPRM dalam garis panduan ditetapkan.

“Kita akan buat persidangan ini setiap tahun dengan menjadikannya program tahunan,” ujarnya.

Beliau menambah, sejak PKNS mengamalkan sistem tender terbuka ia mencatatkan penjimatan sebanyak RM98.4 juta manakala untuk sebut harga pula penjimatan yang dapat dibuat adalah sembilan peratus di mana kedua-dua itu adalah bagi tahun lalu.

Katanya, sebanyak 22 aduan melibatkan beberapa isu termasuk penambahbaikan sistem dan proses kerja diterima sejak pengenalan Polisi Whistle Blowing.