Categories
NASIONAL

Polis setuju penubuhan IPCMC

PUTRAJAYA, 10 MEI: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan jaminan peranan dan kuasa polis tidak akan terhakis.

Ia dicapai berikutan perbincangan yang diadakan hari ini antara PDRM dan Pusat Tadbir Urus Negara, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador serta pegawai tertinggi jabatan dan persatuan dalam PDRM.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, semasa perbincangan diadakan perkara-perkara yang menjadi perhatian pihak polis telah dijelaskan.

“Secara prinsipnya tidak halangan dan sokongan diberi kepada kerajaan untuk penubuhan IPCMC,” kata Abu Kassim pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa perkara yang memerlukan perbincangan terperinci dengan PDRM sebelum kertas Kabinet berkenaan penubuhan IPCMC dapat dilengkapkan selepas sambutan Aidilfitri untuk dibentang kepada jemaah menteri.

Beliau menjangkakan penubuhan IPCMC akan selesai pada tahun ini.

Abu Kassim menjelaskan bahawa fungsi IPCMC tidak lebih sebagai pihak berkuasa tatatertib dan tidak ada kuasa untuk mendakwa kes-kes jenayah.

Malah, katanya Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM masih berperanan menjalankan siasatan dan penubuhan IPCMC itu tidak mengurangkan peranan mereka dalam menjalankan siasatan.

Sementara itu, Abdul Hamid dalam sidang media yang sama berkata, penerangan yang diberikan oleh GIACC telah menangkis kebimbangan PDRM berkenaan penubuhan suruhanjaya itu.

“Jawapan yang diberi begitu jelas sekali dan memuashati PDRM dan perkara-perkara yang menjadi kebimbangan di pihak PDRM telah diyakinkan (oleh Abu Kassim),” katanya.

Abdul Hamid berkata, perbincangan lebih sejam itu turut melenyapkan segala kekhuatiran yang timbul dikalangan anggota polis malah ia jauh meleset dari sangkaan sebelum ini.

“Sebaliknya IPCMC akan memberi banyak peluang dan ruang kepada PDRM dan tidak sesekali menghakis kuasa yang ada pada PDRM,” katanya.

Malah, katanya, kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim lebih menyakinkan bahawa kekhuatiran pihak polis akan mendapat perhatian terus daripada KDN.

Abdul Hamid yang baru lima hari memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara berkata IPCMC merupakan perkembangan terbaru dalam memantapkan lagi pengurusan dan pelaksanaan tugas polis agar lebih berintegriti.

Pada 2 Mei lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan sebagai berkata, PDRM akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.

Mohamad Fuzi memberitahu antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.

Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pesalah Laporan Ketua Audit Negara patut bayar balik kerugian

auditSHAH ALAM 10 OKT: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed mahu ketua jabatan bertanggungjawab terhadap hasil Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Beliau mencadangkan Kerajaan Pusat meminda undang-undang bagi mengelakkan pesalah yang menyebabkan ketirisan, terlepas.

“Perkara ini kena siasat. Jika bersalah minta mereka bayar balik sebab itu duit rakyat. Perkara itu sepatutnya diambil tindakan pada peringkat pekerja dan ketua jabatan.

“Jangan serahkan bulat-bulat pada SPRM,” katanya pada Wacana Sinar yang bertajuk Laporan Audit: Tiris atau Terlepas Pandang.

Abu Kassim turut mencadangkan kerajaan mewujudkan sistem pembelian barangan secara selaras untuk digunapakai oleh setiap jabatan.

“Kerajaan perlu buat pangkalan data untuk semua jabatan guna harga pasaran yang sama. Jangan sampai satu barang harga naik berganda-ganda.

“Ini yang perlu kerajaan ubah. Kalau tahu harga itu tidak munasabah, jangan ambil. Cari harga lain,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendapati banyak ketirisan urus tadbir kewangan dalam kementerian, badan berkanun dan kerajaan negeri.

Antaranya ialah polis kehilangan aset berjumlah RM1.33 juta termasuk pistol dan kementerian rugi RM34.5 juta dalam pembekalan makanan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Bagaimanapun, Abu Kassim enggan mengulas lanjut mengenai tindakan SPRM yang hanya membuka 15 kertas siasatan sedangkan kes ketirisan dalam laporan itu jauh lebih banyak.

Sebelum ini,  Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa SPRM  membuka lebih daripada 15 kertas siasatan memandangkan terlalu banyak pembaziran dan ketirisan dilapor.

Ketua Pembangkang itu turut menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh ke atas semua kes penyelewengan serta pembaziran dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

– FZL