Categories
NASIONAL SELANGOR

PR terus gesa Putrajaya tarik balik klausa halang penjawat awam dedah maklumat

surendranKUALA LUMPUR 22 OKT : Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengulang pendiriannya untuk terus menggesa Putrajaya supaya menarik balik cadangan pindaan Kanun Keseksaan terhadap klausa 11 yang menghalang penjawat awam daripada mendedahkan maklumat dalaman kerajaan.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, berkata peruntukan yang menyamai Akta Rahsia Rasmi (OSA) itu hanya sesuai digunakan dalam negara autokratik seperti Korea Utara.

Beliau berkata, cadangan yang cuba dilaksanakan itu menunjukkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) cuba menyembunyikan salah guna kuasa apabila memperkenalkan peruntukan berkenaan.

“Klausa 11 adalah OSA terbaru di negara kita kerana kakitangan kerajaan tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat. Walaupun bahas yang baik sudah dikeluarkan Ahli Parlimen PR, namun kerajaan masih enggan menarik balik peruntukan itu.

“PR ingin meminta kerajaan mengkaji semula perkara ini kerana pelaksanaannya tidak relevan dan cuba menutup kesalahan yang ada,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Surendran yang juga Naib Presiden PKR turut mengesahkan Kerajaan Pusat menarik balik dua fasal dalam cadangan pindaan Kanun Keseksaan berkenaan vandalisme dan penghinaan terhadap Jalur Gemilang.

Beliau berkata, pihaknya menerima notis penarikan balik dua fasal berkenaan (5 dan 33) selepas perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

“Kita memang tidak menyokong cubaan untuk menukar Jalur Gemilang, tetapi menolak hukuman terlalu berat yang dikenakan ke atas sesiapa yang kononnya menghina bendera rasmi negara itu.

“Kita tidak boleh paksa rakyat untuk tidak melakukan perkara ini dan bagi saya Kerajaan Pusat terlalu sensitif,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.