Oleh : Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM 10 NOV : Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kerajaan Pusat mengambil tindakan terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani PatailĀ ekoran dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terdapat dua orang ejen Agensi Perisikan Amerika Syarikat (CIA) di Pejabat Peguam Negara.
Ketua Pembangkang itu berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menyiasat segera dakwaan memandangkan terdapat banyak dakwaan negatif terhadap Gani Patail
“Dakwaan oleh Dr Mahathir bahawa Pejabat Peguam Negara mempunyai dua ejen CIA adalah mengejutkan dan memerlukan tindakan serta merta daripada perdana menteri dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” kata Anwar dalam kenyataan.
“Gani Patail juga perlu memberi penjelasan terhadapĀ semua dakwaan ini termasuk yang mengaitkan beliau dengan kegiatan haram dan aktiviti konspirasi yang turut didakwa melibatkan pejabatnya,” kata Anwar.
Gani Patail, 58, menyertai pejabat Peguam Negara pada 1980 dan dilantik sebagai Peguam Negara pada 2002.
Beliau menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak berhubung kegagalan kerajaan dalam kes di bawah seliaannya termasuk kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dan kes penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.