Categories
SELANGOR

Hasil pelaburan di Selangor cipta 27.2% peluang pekerjaan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 19 NOV: Selangor mencatat nilai pelaburan RM53.25 bilion jauh meninggalkan pesaing terdekat iaitu Sarawak dengan RM46.35 bilion, diikuti Johor (RM44.18 bilio dan Pulau Pinang (RM38.19 bilion), sejak 2008 hingga Ogos lalu.

Selangor yang menguasai hampir 20 peratus nilai pelaburan modal di Malaysia sudah meluluskan 1,560 projek iaitu 33.1% daripada bilangan projek yang mendapat kelulusan di Malaysia dan mencipta 133,275 pekerjaan atau 27.2% daripada peluang kerja keseluruhan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pelaburan asing masih mendahului pelaburan domestik dengan nisbah 52.5:47.5 di Selangor untuk tempoh sama.

Katanya, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, Selangor jatuh tempat ketiga selepas Johor dan Sarawak daripada segi jumlah pelaburan yang diluluskan.

khalid dun 4“Walaupun dalam tempoh lapan bulan ini, Selangor jatuh di tempat ketiga, selepas Johor dan Sarawak daripada segi jumlah pelaburan yang diluluskan, namun Selangor masih unggul dengan 140 projek dengan menyumbang 10,208 peluang pekerjaan.

“Dalam tempoh itu, pelabur domestik seakan mendapat suntikan semangat baru apabila pelaburan domestik menguasai 67.2% daripada pelaburan modal keseluruhan bagi Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014, di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) Berhad turut mengatur strategi dan mengenalpasti beberapa industri fokus baru dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian bagi menarik minat pelabur baru,

“Antaranya industri elektrikal dan eletronik (E&E) berteknologi tinggi juga berasaskan pengetahuan, industri makanan, bioteknologi, teknologi hijau, farmaseutikal, penjagaan kesihatan, peranti dan alat kelengkapan perubatan, logistik, pelancongan serta automotif,” katanya.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan perbelanjaan pembangunan bernilai RM1.6 juta yang disediakan khusus untuk pelaburan, manakala RM2.5 juta bagi kajian dan penyelidikan termasuk pelaksanaan pelan induk dan penyelidikan serta pembangunan ekonomi.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.