Categories
SELANGOR

Belanjawan 2014: Kerajaan negeri fokus dua pendekatan

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 19 NOV : Kerajaan negeri meggunakan pendekatan “Belanjawan Berasaskan Hasil” dan “Belanjawan Berasaskan Pencapaian” bagi memperkukuh penyediaan, pembangunan dan pengurusan belanjawan 2014.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pendekatan yang berasaskan kepada jangkaan keputusan itu turut mengambil kira pulangan serta manfaat kepada rakyat.

khalid songkok dun-2Beliau berkata, seluruh proses dan kitaran belanjawan dijangka lebih berorientasikan dasar lengkap dengan objektif dan hasil yang ingin dicapai serta kos ditanggung untuk melaksanakannya melalui belanjawan berkenaan.

“Kerajaan negeri akan melaksanakan penilaian atau semakan perbelanjaan pertengahan tahun, sejajar dengan standard dan amalan terbaik prinsip dua pendekatan itu.

“Sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008, akaun pengurusan dibentangkan kepada Menteri Besar setiap empat bulan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kewangan.

“Penilaian pertengahan tahun ini akan mengukuhkan lagi ketelusan dan kredibiliti pentadbir awam dan menandakan suatu anjakan paradigma dalam budaya juga struktur belanjawan yang jelas berbeza antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Khalid turut menyeru kerajaan pusat supaya bersikap profesional, telus dan bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan serta fiskal negara memandangkan rakyat Selangor adalah penyumbang terbesar daripada segi kutipan cukai negara.

Beliau berkata, agihan kutipan hasil cukaiperlu dilakukan secara adil dan setimpal dengan sumbangan negeri kerana Selangor tidak pernah mendapat agihan peruntukan secara terus, sejak Mac 2008.

“Lebih malang lagi apabila sejumlah dana awam tidak disalurkan kepada pentadbiran negeri tetapi diperuntukkan melalui Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) kepada mereka yang tidak mempunyai mandat mentadbir negeri seperti calon pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang kalah.

“Kerajaan pusat perlu sedar bahawa tindakan ini bukan sahaja satu pengkhianatan kepada rakyat Selangor, bahkan ia akan merugikan semua pihak termasuk BN sendiri apabila rakyat semakin nekad untuk menghukum parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.