Categories
SELANGOR

PBT disaran batal acara di hotel mewah, lawatan luar negara

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 NOV : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran mengurang dan membatalkan segala bentuk acara pelancaran atau penganugerahan di hotel mewah serta lawatan sambil belajar ke luar negara.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata PBT digalakkan menganjurkan program dan aktiviti di premis milik mereka sendiri kerana ia lebih praktikal serta menjimatkan.

khalid songkok dun-2“Masih terdapat banyak ruang untuk memperbaiki pengurusan dan pentadbiran PBT melalui kemajuan teknologi terkini, di samping pemahaman yang lebih baik terhadap aspirasi serta keperluan rakyat.

“Sebagai contoh, kita mensasarkan penjimatan perbelanjaan tahunan sebanyak 20 peratus jika disiplin pengurusan kewangan dan pentadbiran di peringkat PBT diamalkan,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, PBT juga boleh mengambil langkah menubuhatau memperkasakan pusat khidmat panggilan berpusat bagi menerima segala aduan untuk tindakan segera, di samping mengukur tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan yang diberikan.

Katanya, PBT digalakkan untuk memanfaatkan konsep ‘economies of scale’ atau pembelian secara pukal iaitu beberapa PBT boleh bergabung untuk mendapatkan bekalan dan perkhidmatan pada harga yang lebih rendah.

“PBT juga perlu menyemak semula kadar atau tarif lesen dan permit perniagaan supaya nilainya sepadan dengan pulangan komersil yang dinikmati pengusaha perniagaan.

“Di samping itu, kecekapan mengurus dan merancang pembinaan serta penggunaan harta awam juga penting supaya memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

-NFN-

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.