Categories
SELANGOR

Tubuh JK bertindak berkuasa tinggi untuk perkasa GLC

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 NOV : Kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa bertindak berkuasa tinggi untuk memberi cadangan penambaikan dan pemerkasaan agensi negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata jawatankuasa itu akan diketuai beliau serta dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kanan kerajaan, tokoh korporat, ahli akademik, tokoh masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).

khalid songkok dun-2Katanya, Sekretariat Jawatankuasa itu akan diletakkan di bawah seliaan Menteri Besar Incorporated (MBI), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbendaharaan Negeri Selangor.

“Antara lain, jawatankuasa ini akan menyemak semula segala aspek berkenaan proses, prosedur, sistem dan modal insan jentera pentadbiran awam, agensi dan GLC.

“Usaha ini bagi memastikan ia boleh diselaraskan dengan standard dan amalan terbaik antarabangsa,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, jawatankuasa itu juga bertindak bagi memantau segala aspek pelaksanaan dasar dan strategi seperti yang diputuskan demi memastikan keberkesanan serta kecekapan penyampaian perkhidmatan awam juga swasta.

“Ia juga akan menggariskan mekanisme kerjasama antara kerajaan pusat, kerajaan negeri termasuk pentadbiran awam, agensi dan GLC negeri dan pihak swasta.

“Langkah ini bagi meningkatkan daya saing jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi mampan bagi Selangor,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.