Categories
SELANGOR

Biasiswa MB : Dana baru diwujud, lancar Februari 2014

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 25 NOV : Satu dana baru akan diwujudkan bagi merealisasikan pemberian Biasiswa Menteri Besar yang akan dilancarkan secara rasmi pada Februari 2014.

sidang dun 21-11-13 - 2Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata dana itu adalah berasingan daripada RM 8 juta yang dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2014 yang merupakan biasiswa negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri kini dalam perbincangan untuk melantik panel pemilihan biasiswa yang bakal terdiri daripada pakar akademik, sumber manusia dan mereka yang berpengalaman dalam proses pemilihan berkenaan.

“Biasiswa Menteri Besar akan diberikan kepada anak Selangor yang berkeupayaan serta berkebolehan mencerminkan kepimpinan yang baik pada masa hadapan.

“Contohnya, seseorang mempunyai keputusan sangat baik dalam pelajaran dengan ijazah kelas pertama dan dalam masa sama dia juga adalah seorang atlet yang mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, antara syarat utama kelayakan biasiswa ialah pemohon bukan sahaja perlu cemerlang dari segi akademi dan pelajaran tetapi juga perlu cemerlang dalam aktiviti ko-kurikulum yang lain.

Pada September lalu, Exco Pendidikan Tinggi, Dr. Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 1.1 juta sebagai permulaan bagi menjayakan program Biasiswa Menteri Besar.

Katanya, biasiswa itu akan diberikan kepada pelajar Ijazah Lanjutan melalui terbitan bon sebagai usaha membentuk sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor (Selangor Brain Bank).

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.