Categories
SELANGOR

ADUN saran rangka pelan atasi miskin bandar

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 21 NOV : Kerajaan Negeri disarankan merangka pelan menyeluruh menangani peningkatan golongan miskin bandar yang kini membentuk hampir 20 peratus daripada jumlah penduduk di Selangor.

yeo bee  yinAdun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata terdapat 1.5 juta rakyat Selangor hidup dalam kemiskinan, sekiranya kadar garis kemiskinan diletakkan pada jumlah pendapatan isi rumah sebanyak RM 1,500.

Menurut Bee Yin, 88 peratus daripada jumlah itu, iaitu bersamaan dengan 1.3 juta rakyat miskin didapati tinggal di bandar.

“Kemiskinan selalunya melahirkan jenayah dan mereka yang terdesak selalunya akan bertindak mencuri atau bertindak ganas demi memberi makan kepada keluarga.

“Lebih daripada lima puluh kajian menunjukkan kecenderungan bertindak ganas lebih lazim dalam masyarakat yang mempunyai jurang pendapatan yang lebar.

“Kerajaan dapat membantu mengurangkan kemiskinan, kita bukan sahaja dapat mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan harmoni malahan dapat mengurangkan kadar jenayah dan mewujudkan masyarakat lebih selamat,” ujar Bee Yin.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2014 di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini.

Dalam ucapan sama, beliau juga mencadangkan agar kesemua program di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) diletakkan di bawah satu pentadbiran berbanding sistem pengurusan berbeza yang ada buat masa ini.

“Sekarang ini, ada banyak jabatan yang mengendalikan program MES yang berbeza hingga menyebabkan terdapat banyak pertindihan fungsi.

“Ini membolehkan Kerajaan Negeri memperbaiki koordinasi dan kecekapan program-program MES dan seterusnya mengurangkan kos pengurusan negeri,” kata Bee Yin.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.