Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 4.7 juta penduduk Selangor sudah terima vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 29 NOV: Lebih 4.7 juta daripada 5.1 juta penduduk di Selangor berusia 12 tahun ke atas sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya dos pertama, kata EXCO kesihatan awam.

Jelas Dr Siti Mariah Mahmud, jumlah itu melibatkan individu berusia lebih 18 tahun iaitu 4.3 juta manakala 495,447 pula bagi 12 hingga 17 tahun.

Menurut beliau, pemberian vaksin Covid-19 bagi penduduk remaja 12 hingga 17 tahun masih dalam proses dengan semua agensi yang terlibat termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Anggaran jumlah keseluruhan yang belum divaksin ialah 348,890 individu iaitu 275,237 bagi individu berusia lebih 18 tahun dan 73,653 bagi 12 hingga 17 tahun,” katanya.

Dr Siti Mariah menjawab soalan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong Keat Ping berhubung jumlah penduduk Selangor daripada umur 12 tahun dan ke atas yang belum divaksin.

Tambah beliau, ketua jabatan boleh mengarahkan penjawat awam mendapatkan suntikan vaksin yang lengkap dengan cara mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 bermula 1 November.

“Mana-mana penjawat awam yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan. Sekiranya pegawai tidak dapat melengkapkan dos atas sebab kesihatan, ketua jabatan boleh mengarahkan penjawat awam untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Berdasarkan data Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia 2.0 jumlah penjawat awam di Selangor adalah 22,314 dan hanya 132 individu 0.59 peratus belum mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prestasi pelaburan Selangor tahun ini tinggi berbanding 2020

SHAH ALAM, 29 NOV: Prestasi pelaburan semasa Selangor pada tahun ini masih menggalakkan, bahkan lebih tinggi berbanding 2020 walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu, Kerajaan Negeri mencatat nilai pelaburan berjumlah RM3.39 bilion terdiri daripada pelaburan tempatan dan asing.

“Namun pada 2021, walaupun hampir enam hingga tujuh bulan berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita menerima pelaburan RM 4.64 bilion bagi tempoh sama yang mana RM4.06 bilion pelaburan tempatan dan RM576 juta terdiri daripada pelaburan asing.

“Pelaburan asing pada 2020 dan tahun ini ada perbezaan besar disebabkan impak penutupan sempadan yang beri kesan langsung pada prestasi pelaburan. Selain itu jumlah projek kekal bagi 2020 dan tahun ini iaitu 122 projek dan peluang pekerjaan pula menawarkan 5,001 tahun lepas manakala tahun ini 9,179,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berhubung impak pandemik Covid-19 kepada prestasi pelaburan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung kadar premium Selangor lebih tinggi berbanding negeri lain Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa mempercepat dan memperkemas perkara itu berbanding menurunkan harga kerana ia mengganggu kitaran dan perkembangan pasaran.

Menurut Amirudin, perkara ini sememangnya kenyataan yang harus diterima yang mana nilai tanah di Lembah Klang tidak hanya di Selangor lebih tinggi berbanding negeri dan kawasan lain.

“Kerajaan Negeri sentiasa cuba percepat dan perkemas perkara ini tetapi akhirnya beberapa syarikat yang memilih negeri di utara dan pantai timur kerana harga murah terpaksa mengeluarkan kos tinggi disebabkan perlu menanggung kos pengangkutan.

“Apa yang difokus dan diperkemas Kerajaan Negeri bukan nilai harga tetapi nilai prestasi dan penyampaian,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor cadang pinda peraturan untuk dewan negeri bersidang secara hibrid

BANGI,10 JULAI: Kerajaan Negeri bercadang meminda peraturan persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) supaya boleh dijalankan secara hibrid.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cadangan mengenai perkara tersebut dijangka dibawa dalam DNS yang memulakan persidangan pada 23 Ogos.

“Mengikut peraturan undang-undang tubuh kerajaan Selangor, persidangan secara hibrid tidak dibenarkan dan kehadiran Ahli Dewan Negeri (ADN) masih diperlukan secara fizikal.

“Berdasarkan keperluan kita akan ubah dahulu undang-undang untuk tujuan itu jika mahu ia dilakukan dalam tempoh panjang antara 10 hingga 11 hari,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC) hari ini.

Menurut Amirudin, beberapa usul juga akan dibawa termasuk mengkaji semula belanjawan sama ada perlu penambahan atau penstrukturan yang memerlukan keputusan dewan negeri.

Pada 9 Julai, Amirudin dalam kenyataan memaklumkan DNS akan bersidang mulai 23 Ogos ini setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Persidangan selama sembilan hari hingga 6 September mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan istiadat pembukaan pada 23 Ogos serta DNS kemudian akan bersidang selama lapan hari.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Dewan negeri dijangka bersidang minggu ketiga Ogos

GOMBAK, 20 JUN: Pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dijangka boleh dilaksana seawal minggu ketiga Ogos ini.

Dato’ Menteri Besar berkata bagaimanpun langkah keselamatan perlu diberi perhatian dengan tatacara operasi piawai (SOP) sedang dibincangkan.

“Saya sudah minta speaker siapkan dari segi persediaan, SOP dan sebagai, apabila ia siap saya akan persembah kepada Tuanku (Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj).

“Setakat ini baru dua tiga hari, speaker sedang siapkan segala perancangan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata sekiranya Kerajaan Negeri berhasrat membuka sidang DNS ketika dalam tempoh ordinan darurat maka pihaknya juga perlu meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Amirudin berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Saringan Komuniti fasa tiga di Dewan Beringin Seri Gombak di sini hari ini.

Pada 16 Jun Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu berpandangan Parlimen wajar segera bersidang.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Sidang DNS: 1,200 individu disaring mulai esok

SHAH ALAM, 24 OKT: Sekurang-kurangnya 1,200 individu akan menjalani saringan Covid-19 bermula esok bagi memastikan kelancaran sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan pada 30 Oktober ini.

Speaker, Ng Suee Lim berkata saringan membabitkan wakil rakyat, pegawai, petugas dan pengamal media yang terlibat.

“Saringan ini juga dilakukan disebabkan penularan beberapa kluster tempatan di Selangor dan telah diisytihar di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Hanya mereka yang disahkan negatif sahaja boleh menghadiri persidangan berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Saringan akan dilakukan selama dua hari bermula esok hingga Isnin (26 Oktober) di Bangunan SUK, Shah Alam.

Pada 7 Julai lalu, Kerajaan Negeri turut menjalankan saringan yang sama terhadap individu yang menghadiri sidang DNS pada 13 Julai.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Timbalan speaker puji idea ADN Muda, ada potensi dibawa ke sidang DNS

SHAH ALAM, 4 OKT: Idea dilontarkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda sangat menakjubkan dan berpotensi diketengah wakil rakyat ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), kata timbalan speakernya .

Hasnul Baharuddin berkata mereka bijak mencari dan mengeluarkan fakta khususnya berkaitan isu semasa serta menjadikan cara penyampaian lebih menarik.

“Kualiti (penyampaian) peserta ADN Muda cukup memberangsangkan malah mereka berani memberikan hujah yang baharu dan bernas dengan menggunakan kemahiran serta ilmu dimiliki.

“Saya percaya, usul ini sedikit sebanyak membantu ADN Selangor sedia ada untuk mencari jalan penyelesaian tuntas terhadap isu mendesak di negeri ini seperti (isu) air,” katanya ditemui selepas Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex semalam.

Beliau yang juga ADN Morib berkata individu terlibat juga wajar diberi ruang dan peluang untuk merasai pengalaman berbahas di DNS pada masa akan datang.

“Program ini sebenarnya dimulakan sejak 2014 lagi dan kali ini kita menggunakan pendekatan secara maya bagi mengurangkan penglibatan ramai pihak susulan pandemik Covid-19.

“Selepas ini kita akan cuba berikan masa sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan kepada peserta untuk membuat persiapan mengikut isu semasa,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Cadangan ADN Muda dinilai sebelum dibawa ke sidang DNS

SHAH ALAM, 3 OKT: Beberapa cadangan yang dikemukakan pembahas program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Virtual akan dinilai sebelum dibawa ke persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata semua peserta mengemukakan pandangan yang baik malah ada beberapa perkara telah dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Kebanyakan cadangan yang dikemukakan sudah meliputi penyata yang kami bentangkan pada sesi DNS yang lepas menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor.

“Cadangan baharu kami akan teliti sebelum dicadangkan dalam sidang akan datang,” katanya ketika dihubungi selepas penggulungan program sesi pagi.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah penggunaan teknologi GPS bagi mengesan paip rosak, pemasangan penggera pencemaran selain menggesa kadar denda kepada pesalah ditingkatkan.

Michelle menjelaskan beberapa cadangan lain pernah dikemukakan sebelum ini menerusi Pelan Bersepadu Menangani Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor dengan penglibatan agensi berkaitan seperti Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Air Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Beliau turut memuji kesungguhan dan semangat ditunjukkan semua pembahas yang berperanan sebagai pembuat dasar supaya henti tugas loji rawatan air (LRA) dapat dielakkan pada masa depan.

Program itu disertai belia termuda berusia 15 tahun mewakili DUN Sentosa, Muhammad Mahdiyen Nafiz Mohd Azizi bersama 55 yang lain terdiri daripada 39 lelaki dan 17 perempuan.

Persidangan anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Zon 16, Persatuan Pengundi Muda (Undi 18), Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) dan Pejabat Speaker (DNS) dibahagikan kepada dua sesi iaitu usul Kluster Perkhidmatan Air dan Kluster Ekonomi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SOP Sidang DNS dipantau ketat, petugas wajib jalani saringan

SHAH ALAM, 12 JUN: Tatacara operasi piawai (SOP) bagi Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14, Tahun 2020 yang dijadualkan pada 13 hingga 24 Julai ini dipantau ketat dengan mewajibkan semua individu terlibat menjalani saringan Covid-19.

Speaker DNS Ng Suee Lim berkata saringan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dilakukan lima hari sebelum persidangan bermula melalui kaedah pandu lalu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan setiap individu.

“Tiada halangan untuk menangguhkan persidangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tetapi SOP (persidangan) dikawal rapi iaitu semua Ahli Dewan Negeri (ADN), EXCO, kakitangan kerajaan dan wartawan terlibat termasuk Dato’ Menteri Besar akan dibuat saringan.

“Pemeriksaan suhu badan dilakukan di pintu masuk utama untuk semua petugas sebelum dibenarkan masuk selain perlu mengimbas kod bar aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi menjejak kontak rapat sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata tiada keperluan untuk mengosongkan dan mengubah kedudukan kerusi setiap wakil rakyat di dalam dewan persidangan memandangkan jarak sosial tempat duduk sudah menepati piawaian JKNS.

“Kita juga sudah berbincang dengan urus setia untuk membuat sedikit perubahan pada ruang kerja pengamal media supaya tidak terlalu padat di kelompok tempat tersebut termasuk menyediakan ruang makan khusus untuk ADN dan wartawan,” katanya.

Pada 17 Mac lalu, DNS meluluskan usul menangguhkan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor ke-14 yang dibuka sehari sebelumnya ke satu tarikh baharu selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19.

Rakyat di negeri ini boleh mengikuti perkembangan sidang yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube TV Selangor dan portal berita SelangorKini sepanjang tempoh dua minggu berkenaan.

Categories
SELANGOR

Industri busana santun di Bandar Baru Bangi semakin jadi tumpuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri disarankan supaya memberi perhatian terhadap pembangunan industri tekstil bagi segmen busana santun kerana mampu memberi pulangan yang baik untuk ekonomi negeri.

Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, perkara ini dapat dilihat terhadap sambutan orang ramai di kawasan perniagaan busana santun di Bandar Baru Bangi.

“Bandar Baru Bangi semakin sesak dengan kehadiran orang ramai termasuk daripada luar kawasan di mana ini sedikit menyukarkan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Beliau yang merupakan pembahas terakhir berkata, antara premis yang menjadi tarikan di Bandar Baru Bangi termasuklah perniagaan Jakel Trading.

Katanya, industri busana santun di negara Asia khasnya di Bandung, Indonesia mendapat perhatian sehingga menjadi salah satu tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Katanya, industri ini mempunyai potensi dibangunkan sekaligus menjadi salah satu sumber ekonomi negeri itu.

Categories
SELANGOR

DUN: Tindakan penguatkuasaan bersepadu pantau aktiviti mineral

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri mahu tindakan bersepadu dilaksanakan membabitkan semua agensi dalam mengendalikan aktiviti penguatkuasaan, pengurusan dan pemantauan sumber mineral di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebelum ini, Selangor menjadi peneraju dalam mengamalkan sistem e-doket yang berfungsi mengesan pergerakan lori dan masalah ketirisan pendapatan.

“Sistem e-doket yang digunakan berfungsi mengesan pergerakan lori, pemerhatian, cerapan dan pemantauan.

“Namun, penguatkuasaan secara berjadual akan turut dilaksanakan dan kita akan merujuk Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (Taman Templer), di Sidang Dewan Negeri, di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menyokong penuh tindakan bersepadu semua agensi supaya aktiviti pengkuarian dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pendapatan Kerajaan Negeri menerusi hasil penjualan kuari meningkat setiap tahun.

Katanya, ia membabitkan sebanyak RM24.66 juta (2014), RM48.99 juta (2015), RM36.20 juta (2016), RM51.94 juta (2017) dan setakat Julai 2018 sebanyak RM31.26 juta.

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

RM2.61 bilion hasil pelancongan di Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 NOV: Sebanyak RM2.61 bilion hasil industri pelancongan di Selangor dengan industri pelancongan agro ketiga terbesar iaitu 15 peratus dalam keseluruhan 10 segmen utama pelancongan, setakat Jun lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, Tourism Selangor mencatatkan jumlah keseluruhan 3.7 juta pelancong luar negara dan tempatan, dalam tempoh sama.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi menaik taraf produk pelancongan termasuk membangunkan industri pelancongan agro dalam usaha memajukan potensi pelancongan di negeri ini termasuk pembangunan dan promosi pelancongan agro.

“Kita sentiasa membantu Tourism Selangor memasarkan produk pelancongan agro serta meningkatkan kedatangan pelancong di 10 lokasi utama agro pelancongan, di Selangor,” katanya.

Elizabeth berkata, antara lokasi terbabit ialah kawasan pelancongan Sekinchan, homestay Sungai Sireh, Selangor Fruits Valley, Genting Strawberry Leisure Farm dan Paya Indah Wetlands.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

“Tourism Selangor juga berperanan mempromosikan industri ini menerusi pengiklanan media cetak dan bahan terbitan diperbanyakkan di media tempatan juga bertaraf antarabangsa selain risalah pelancongan seperti Selangor Breakway, Selangor Travel Guide dan Selangor Coffee Table Book.

“Di samping itu, produk agro diperkenalkan dalam siri promosi dalam dan luar negara seperti Matta Fair serta ITB Berlin 2017 selain hebahan di laman sesawang juga media sosial Tourism Selangor,” katanya.

Katanya, program FAM Trip (Familiarization Trip) bersama agensi pelancongan, media tempatan dan antarabangsa turut diadakan bagi mempromosikan agro pelancongan.

Categories
SELANGOR

80 pengadu terima pendahuluan nafkah SBSK

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga (SBSK) Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) meluluskan 80 penerima pendahuluan nafkah membabitkan perbelanjaan RM307,530.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sumber kewangan pembayaran pendahuluan nafkah tersebut adalah daripada dana Akuan Amanah SBSK yang disumbangkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Pembayaran pendahuluan nafkah ini bukanlah suatu bantuan mutlak tetapi ia merupakan suatu pendahuluan nafkah dikutip semula oleh SBSK daripada pihak bekas suami atau bapa ingkar melaksanakan perintah nafkah selepas kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di Mahkamah selesai.

“Pembayaran nafkah SBSK ini juga bukanlah untuk mengambil tanggungjawab bekas suami atau bapa dalam melaksanakan tanggungjawab sebaliknya membantu meringankan beban ibu dan anak-anak,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pembahayaran pendahuluan itu juga bertujuan membantu memastikan perintah Mahkamah Syariah dikuatkuasakan terhadap mereka bertanggungjawab.

Difahamkan, seramai 903 pengadu terdiri daripada ibu-ibu tunggal dan bekas isteri mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan SBSK.

Jumlah itu adalah berdasarkan kepada statistik kes atau aduan yang diterima di SBSK bermula 2009 sehingga Disember 2016.

-nR-