Categories
SELANGOR

Klinik 1 Malaysia bahayakan pesakit – ADUN Ijok

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 29 NOV: Klinik 1 Malaysia didakwa membahayakan pesakit kerana didapati tidak menepati piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung syarat menubuhkan sebuah klinik kesihatan.

sidang dun idrisDr Idris Ahmad (PKR-Ijok) berkata, ini termasuklah kegagalan Klinik 1 Malaysia dalam menyediakan Pegawai Perubatan bertauliah seperti mana yang diisyaratkan terhadap sesebuah klinik.

“Klinik satu Malaysia tipu rakyat, membahayakan rakyat kerana untuk buka sebuah klinik perlu banyak syarat kena patuhi seperti hendaklah ada Doktor, pintu juga ada ukurannya, mesti ada farmasi dan lain-lain.

“Klinik satu Malaysia ini cuma menyediakan jururawat yang tentunya membahayakan pesakit sekiranya berlaku kesilapan,” kata beliau dalam sesi perbahasan di Dewan Negeri Selangor semalam.

Keadaan ini kata Dr Idris, amat bertentangan dengan amalan piawaian biasa yang perlu dipatuhi mana-mana doktor yang ingin membuka perniagaan sebuah klinik kesihatan.

Kata beliau lagi, ketiadaan pegawai perubatan atau doktor bertugas mampu membahayakan pesakit sekiranya berlaku kesilapan rawatan atau memberi perskripsi ubat-ubatan kepada pesakit.

Dr Idris sebelum berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok merupakan seorang pakar sakit puan dan pernah berkhidmat di beberapa buah hospital kerajaan sebelum bertugas di sebuah pusat perubatan swasta di Lembah Klang.

Pengalaman luas beliau selama lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia perubatan menjadikan beliau antara doktor sakit puan yang dikenali di dalam industri kesihatan.

– EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.