Categories
SELANGOR

MSNS gilap lebih ramai atlet renang

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 30 NOV : Pertama kali menganjurkan Kejohanan Renang Berirama Terbuka Asia Pasifik 2013, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) berharap dapat memperkenalkan lagi acara sukan itu yang dilihat kurang popular di kalangan rakyat Malaysia.

badlishahPengarah Eksekutif MSNS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata penganjuran kali ini juga sebagai langkah permulaan bagi menggilap bakat atlet renang tempatan khususnya dalam acara berirama.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya penganjuran kali ini lebih kepada satu penilaian untuk acara renang berirama.

“Kita harap juga peserta tempatan dapat meningkatkan kemahiran fizikal dan mental mereka apabila bersaing dengan peserta luar negara nanti,” kata Shamsul.

Beliau ditemui di majlis minum petang bersama para peserta yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini petang semalam.

renangBeliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi menyaksikan pertandingan ini di Pusat Akuatik, Seksyen 13.

“Kita memang mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi menyaksikan sendiri acara sukan ini. Masuk adalah percuma,” kata Shamsul.

Kejohanan yang memasuki tahun kelima ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad ini.

Seramai 197 peserta menyertai kejohanan bagi merebut gelaran juara dalam empat kategori yang dipertandingkan.

Empat kategori itu ialah 12 tahun dan ke bawah (solo dan duet), 13 hingga 15 tahun (solo dan duet), 16 hingga 18 tahun (solo dan duet) dan kategori bebas.

Penyertaan peserta luar negara terdiri daripada Brunei, Filipina, Indonesia, Uzbekistan, Hong Kong, Vietnam dan Korea.

Penyertaan peserta tempatan pula diwakili Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pasukan Gemilang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.