Categories
AGENDA NASIONAL

Perenang para kebangsaan mara ke peringkat akhir 100 meter gaya bebas S5

TOKYO, 26 OGOS: Selepas mengalami episod duka dalam aksi pertama semalam, perenang para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli kini boleh menghela nafas lega, apabila layak ke final acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.

Nur Syaiful yang bermula di lorong ketiga, menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 1 minit 16.33 saat (s) pada saringan pertama, yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, di sini.

Atlet berusia 26 tahun dari Sarawak itu, menempah slot ke pusingan akhir selepas menghuni tangga ketujuh secara keseluruhan.

Hanya lapan perenang terbaik daripada kedua-dua saringan dijalankan hari ini mara ke akhir.

Juara bertahan dari Brazil Daniel de Faria Dias, muncul pemenang bagi saringan pertama selepas mencatat masa 1:13.02s manakala pemenang perak 200m gaya bebas lelaki (S5) semalam iaitu Antoni Ponce Bertran dari Sepanyol, di tempat kedua dengan masa 1:13.33s.

Saingan akhir dijangka berlangsung pukul 5 petang ini (4 petang waktu Malaysia).

Semalam, Nur Syaiful terlepas peluang untuk layak ke peringkat akhir acara 200m gaya bebas lelaki S5, selepas penyertaannya dalam saringan pertama dibatalkan gara-gara isu teknikal selepas didapati menampal pita pelekat di bahu kirinya.

Nur Syaiful sebenarnya berpeluang untuk memecah rekod Asia dipegang perenang Thailand Phuchit Aingchaiyaphum, dengan catatan masa 2:58.11s dilakukan di Melbourne, Australia tahun lalu selepas menamatkan saingan di tangga kelima dengan masa 2:56.78s.

Beliau mendedahkan terpaksa menampal pita pelekat dan berenang dalam kesakitan susulan kecederaan dialami di bahu kirinya sejak Sabtu lepas, sebelum aksinya dibatalkan selepas dimaklumkan pengadil bahawa penggunaan objek itu tidak dibenarkan.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Cungkil bakat baru renang

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 9 SEPT: Pesta Renang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu mencungkil bakat baru menceburkan diri dalam acara itu sekaligus diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pesta renang yang memasuki kali ke 12 penganjurannya itu sentiasa mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun.

Katanya, penganjurannya merupakan platform mengasah keterampilan bakat baru atau sedia ada ke peringkat lebih tinggi.

“Kejohanan ini merupakan acara pesta yang disertai oleh kanak-kanak dan dewasa.

IMG_20170909_104246“Ia juga merupakan aktiviti yang merapatkan hubungan antara ahli keluarga disamping mengeratkan hubungan antara persaudaraan antara penduduk sekitar,” katanya di Majlis Perasmian Pesta Renang MBPJ, di Kompleks Kolam Renang SS7, di sini.

Mohd Azizi berkata, MBPJ sedia terus menganjurkan pesta itu pada masa akan datang ekoran sukan terbabit semakin popular dalam masyarakat.

Pesta Renang dengan kerjasama Kelab Renang Stingray Petaling Jaya itu mendapat penyertaan dari lebih 500 peserta dengan jumlah peserta meningkat berbanding tahun lalu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

SUKMA 2016: Raja Muda Selangor tiup semangat atlet renang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 27 JULAI: Atlet renang Selangor terus membuktikan kejaguhan dengan menggondol tiga emas di Pusat Akuatik Sarawak, di sini, hari ini, pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Ketiga-tiga emas itu diperoleh daripada Wong Tzi Rok menerusi acara 100m kuak lentang lelaki, Caroline Chan Zi Xin (100m kuak lentang wanita) dan Kok Cher Ling Maryann (50m gaya bebas wanita).

Tzi Rok mengalahkan pencabar dari Johor, Tern Jian Han (perak) dan Wilayah Persekutuan, Brandy Chew (gangsa).

IMG_20160727_174554Zi Xin pula mengatasi cabaran Tan Rou Ying (Wilayah Persekutuan) juga peserta Sabah, Chris Tan Ling yang mendapat perak dan gangsa.

Manakala, Ling Maryann meninggalkan Ong Ming Fen (Wilayah Persekutuan) dan Elynn Tan (Pulau Pinang) dalam acaranya untuk merangkul emas.

Kontinjen renang negeri itu turut mendapat suntikan semangat daripada Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencemar duli ke pusat akuatik berkenaan.

Kehadiran baginda dengan memakai jersi The Red Giants menaikkan semangat atlet khususnya dari kem Selangor.

Mengiringi baginda, Exco Selangor, Elizabeth Wong; ADUN Demak Laut, Hazland Hipni dan kenamaan lain.

Tengku Amir Shah turut berdiri bersama penonton bagi menyatakan sokongan kepada atlet bertanding.

Pasukan Selangor terbabit dalam beberapa acara akhir selepas ini dan dijangka meneruskan penguasaan dalam renang dan terjun.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MSNS gilap lebih ramai atlet renang

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 30 NOV : Pertama kali menganjurkan Kejohanan Renang Berirama Terbuka Asia Pasifik 2013, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) berharap dapat memperkenalkan lagi acara sukan itu yang dilihat kurang popular di kalangan rakyat Malaysia.

badlishahPengarah Eksekutif MSNS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata penganjuran kali ini juga sebagai langkah permulaan bagi menggilap bakat atlet renang tempatan khususnya dalam acara berirama.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya penganjuran kali ini lebih kepada satu penilaian untuk acara renang berirama.

“Kita harap juga peserta tempatan dapat meningkatkan kemahiran fizikal dan mental mereka apabila bersaing dengan peserta luar negara nanti,” kata Shamsul.

Beliau ditemui di majlis minum petang bersama para peserta yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini petang semalam.

renangBeliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi menyaksikan pertandingan ini di Pusat Akuatik, Seksyen 13.

“Kita memang mengalu-alukan kehadiran orang ramai bagi menyaksikan sendiri acara sukan ini. Masuk adalah percuma,” kata Shamsul.

Kejohanan yang memasuki tahun kelima ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad ini.

Seramai 197 peserta menyertai kejohanan bagi merebut gelaran juara dalam empat kategori yang dipertandingkan.

Empat kategori itu ialah 12 tahun dan ke bawah (solo dan duet), 13 hingga 15 tahun (solo dan duet), 16 hingga 18 tahun (solo dan duet) dan kategori bebas.

Penyertaan peserta luar negara terdiri daripada Brunei, Filipina, Indonesia, Uzbekistan, Hong Kong, Vietnam dan Korea.

Penyertaan peserta tempatan pula diwakili Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pasukan Gemilang.