Categories
NASIONAL

Salah guna kuasa mudah berlaku apabila AG ‘berkuasa’ sepenuhnya

badrul hisham chegubard ceramah yelow 01

Oleh : Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 10 NOV : Penyalahgunaan kuasa didakwa lebih mudah berlaku apabila kuasa pendakwaan kes terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Peguam Negara (AG).

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, berkata antara kes yang mempunyai bukti lengkap tetapi tidak didakwa termasuk isu melibatkan Tan Sri Rafidah Aziz ketika beliau masih menjawat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Antara contoh kes, seperti skandal AP (permit diluluskan) yang melibatkan Tan Sri Rafidah dahulu yang didedahkan Ezam Noor (bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan) sebelum ini.

“Masa itu Badan Pencegahan Rasuah (BPR-sebelum ditukar kepada SPRM) ada cukup bukti, kertas siasatan dah lengkap tetapi tiada pendakwaan terhadap beliau dan akhirnya fail siasatan diperapkan begitu sahaja.

“Ini menunjukkan SPRM diberi peruntukkan yang besar tetapi tidak diberi kuasa, tetapi orang yang ada kuasa mendakwa, salah guna kuasa pula dengan melindungi pihak tertentu,” kata Badrul ketika dihubungi Selangor Kini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata kerajaan tidak bercadang memberi kuasa pendakwaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bimbang berlaku salah guna kuasa.

Badrul Hisham atau juga dikenali sebagai Chegu Bard itu juga percaya keputusan tidak mendakwa dibuat apabila terdapat pihak yang mempengaruhi atau memberi tekanan terhadap peguam negara.

“Ini adalah salah guna kuasa oleh Peguam Negara kerana sepatutnya menjalankan pendakwaan dan bukannya melindungi orang yang disiasat. Kalau begini siasatan SPRM jadi sia-sia sahaja,” kata beliau lagi.

Selain kes melibatkan Rafidah, kes lain yang menimbulkan keraguan masyarakat seperti Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu melibatkan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang juga rakan rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kedua-dua kes tersebut, pendakwa raya memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Liong Sik dan Abdul Razak dalam pertuduhan masing-masing.

Sebaliknya pihak pendakwa raya begitu bersungguh-sungguh dalam sebuah kes lain iaitu liwat 2, melibatkan seteru politik Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun kes tersebut tidak melibatkan kepentingan dana awam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.