Categories
NASIONAL

Walau digantung, Surendran tekad terus halang roboh kuil

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 14 NOV : Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran akan terus memperjuangkan hak kaum India dalam isu perobohan kuil bersejarah 100 tahun di Jalan P Ramlee.

Surendran berkata beliau akan terus mendesak Kerajaan untuk menghalang perobohan itu berlaku walaupun Dewan Rakyat memutuskan menggantungnya selama enam bulan.

surendran speech mic 02Katanya, tindakan Speaker menyingkirkannya dari Dewan Rakyat sebagai ‘memangsakan rakyat’ kerana beliau menyuarakan hak mereka.

“Mereka berjaya menyingkirkan saya, tetapi tindakan itu nampaknya memangsakan rakyat, akhirnya Barisan Nasional (BN) menghukum mereka. Walaupun saya disingkirkan, masalah itu masih belum selesai hingga kini.

“Saya akan teruskan usaha ini walaupun tidak dapat memasuki sidang dewan dan akan kembali selepas enam bulan,” katanya.

Dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini, pemimpin BN menyingkirkan Surendran daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan, selepas usul untuk menggantungnya diputuskan secara undi belah bahagi.

Usul untuk menggantung keahlian Surendran yang dikemukakan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri itu diluluskan dengan sokongan 92 Ahli Parlimen BN.

Nancy pada awalnya cuba membentangkan usul itu sejak jam 11.30 lagi tetapi tidak berjaya berbuat demikian ekoran bantahan demi bantahan daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

Mereka membantah kerana usul itu dibawa tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan dan membawa usul tanpa cukup tempoh waktu bagi sesuatu usul dibahaskan.

Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila kebanyakan pemimpin PR bangun dan menjerit ‘usul haram’, ‘tarik balik’, ‘kuku besi’ dan menepuk meja hingga berlarutan lebih satu jam.

Surendran digantung selepas didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang Dipertua Dewan sebagai “speaker yang bias (berat sebelah)” dan mengeluarkan “fakta yang tidak benar” dalam isu perobohan kuil di Jalan P Ramlee.

Tuduhan itu dianggap penghinaan kepada Yang Dipertua Dewan yang menjalankan tugas sebagai pengerusi dewan dan bererti penghinaan yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.

Surendran dturut ihalau keluar dewan selepas bertikam lidah dengan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam isu yang sama, pada 12 November lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.