Categories
NASIONAL

Suruhanjaya Diraja perlu dibentuk siasat PATI mengundi

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 17 NOV: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa isu 40,000 warga Bangladesh mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu ditamatkan dibidas kerana kenyataan beliau lebih bertujuan untuk menyembunyikan perkara sebenar berlaku.

Sebaliknya isu ini hanya boleh ditamatkan sekiranya satu panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan seperti mana yang dilakukan dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.

Khalid-Samad editAhli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata isu ini hanya berjaya didedahkan sekiranya mendapat kerjasama sepenuhnya dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bila pendatang asing ini mengundi, mereka mengundi sebagai rakyat Malaysia kerana mereka juga ada kad pengenalan seperti rakyat biasa.

“Jadi tidak ada cara kita nak mengesani mereka ini melainkan mendapatkan kerjasama dari JPN dan SPR, di mana bila dibentuk sebuah suruhanjaya diraja maka mereka ini dipaksa atau diarahkan menyerahkan segala maklumat berhubung pendaftaran warga asing secara beramai-ramai dan sebagainya,” kata Khalid.

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini selepas menghadiri Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat (PR) di Subang Jaya baru-baru ini.

Khalid menambah, Barisan Nasional (BN) sendiri turut percaya terdapat pengundi hantu seperti mana yang didakwa mereka selepas tewas dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Limau baru-baru ini.

“Bukankah BN sendiri kata ada pengundi hantu seperti warga asing dan sebagainya mengundi memenangkan PAS dalam PRK Sungai Limau?

“Janganlah begitu mudah nak bodohkan rakyat sebab memang jelas, PR tidak ada kuasa nak beri kad pengenalan tetapi yang boleh buat begitu adalah mereka yang ada kuasa, iaitu BN,” kata beliau lagi.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.