Categories
SELANGOR

3 NGO dipilih agih dana RM100,000 kepada mangsa taufan Haiyan

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI
SHAH ALAM 6 DIS : Kerajaan Selangor mengumumkan tiga buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu menyalurkan dana bantuan RM100,000 kepada mangsa Taufan Haiyan di Filipina, hari ini.

Tiga NGO berkenaan adalah Yayasan Buddha Tzu Chi yang diperuntukkan RM50,000, manakala Islamic Relief Malaysia RM30,000 dan Malaysia Relief Agency (MRA) RM20,000.

DSC_0103abExco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata keputusan memilih tiga NGO berkenaan dilakukan selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama mereka.

Katanya, semua NGO berkenaan sudah melakukan misi kemanusiaan di beberapa kawasan di Filipina yang teruk dilanda taufan berkenaan, sejak November lalu.

“Semua NGO ini sudah berada di sana dan mula melakukan tugas. Kita harap dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mangsa Taufan Haiyan yang berlaku, awal November lalu,” katanya.

Rodziah berkata demikian selepas menyerahkan cek kepada tiga wakil NGO berkenaan di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Yayasan Buddha Tzu Chi diwakili Sio Kee Hong, manakala Islamic Relief Malaysia diwakili pengarahnya, Zairul Shahfuddin Zainal Abidin dan Mohd Sharulazilan Said mewakili Malaysia Relief Agency (MRA).

Sumbangan dana itu susulan kunjungan delegasi dari Kedutaan Filipina yang diketuai Medardo G. Macaraig ke pejabat Rodziah bagi membincangkan keadaan negara itu yang dilanda bencana sehingga menyebabkan lebih dua juta rakyatnya terkesan daripada bencana berkenaan.

Pada masa sama, tiga NGO berkenaan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap misi kemanusiaan yang sedang giat dijalankan di negara itu.

-NFN-

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.