Categories
SELANGOR

4,654 permohonan milikan tanah selesai di Hulu Langat

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 10 DIS : Sebanyak 4,654 tunggakan permohonan pemberi milikan tanah di daerah Hulu Langat berjaya diselesaikan sehingga kini melalui penubuhan pasukan “task force” Pejabat Daerah dan Tanah di kawasan itu.

Manakala baki 46 permohonan lagi akan diselesaikan melalui kerjasama antara Pejabat Daerah itu dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), kata Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

IMG_7885Beliau berkata kaedah ini dijadikan “pilot project” oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan untuk menyelesaikan permohonan pemberi milikan yang tertunggak di samping mengeluarkan hak milik muktamad secara serentak.

“Pada peringkat pertama ini ia dijangka dapat diselesaikan pada suku tahun pertama 2014 dengan pengeluaran 183 hak milik muktamad.

“Selepas ini, program berkenaan akan dijadikan modal bagi negeri-negeri lain untuk menyelesaikan masalah dan isu berhubung pemberi milikan,” katanya semasa Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak.

Beliau berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor juga berjaya menyelesaikan banyak permohonan berkelompok di beberapa buah kampung di kawasan itu melalui pelaksanaan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan untuk Tujuan Kediaman Persendirian di Selangor yang diperkenalkan kerajaan negeri pada 2011.

Katanya setakat ini sebanyak 609 lot kediaman mendapat kelulusan, manakala baki 308 permohonan lagi sudah diproses dan sedang menunggu kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

IMG_7641Dalam pada itu, Mohd Amin, berkata penambahbaikan terhadap proses kerja di kalangan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dilaksanakan untuk memastikan proses permohonan tanah dapat diselesaikan dengan segera.

“Kesan daripada itu, hasil permohonan tukar syarat yang dahulunya mengambil masa tiga hingga enam bulan diselesaikan dalam tempoh 14 hari sahaja.

“Proses yang cepat itu membolehkan pemaju dapat memajukan tanah dengan cepat sebelum pelan pembangunan itu diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Hasil daripada inisiatif proses penambah baikan urusan kerja pembangunan tanah juga menyebabkan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat berjaya mengutip RM155.2 juta pada tahun 2013 dengan peningkatan sebanyak 39 peratus,” katanya lagi.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.