Categories
PBT SELANGOR

Milikan tanah balai raya, dewan orang ramai di Hulu Langat dikemas kini

SHAH ALAM, 28 OGOS: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL) mengemas kini maklumat pemilikan tanah bagi tapak balai raya dan dewan orang ramai di daerah berkenaan.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata sekiranya terdapat balai raya dan dewan orang ramai yang belum diwartakan, proses berkenaan akan dilakukan segera.

Borhan Aman Shah berkata ia bagi memastikan tiada isu penyalahgunaan balai raya serta masalah lain yang boleh mengganggu kelangsungan pengoperasian.

“PDTHL bertanggungjawab untuk melaksana kerja baik pulih dan penyelenggaraan balai raya dan dewan orang ramai yang digunakan pihak MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) berdasarkan tahap kritikal sesuatu permohonan.

“Peruntukan baik pulih dan penyelenggaraan balai raya dan dewan orang ramai kebiasaanya diperoleh daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor dan peruntukan projek kecil di bawah peruntukan tahunan Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor semalam sebagai menjawab isu dibangkitkan wakil rakyat Balakong mengenai status balai raya dan dewan orang ramai seliaan PDTHL.

Borhan berkata terdapat 68 balai raya dan dewan orang ramai di bawah seliaan PDTHL dengan jumlah mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah meliputi 19 di Semenyih, Dusun Tua (20), Kajang (enam) dan Sungai Ramal (sembilan).

Selain dua di Balakong, Pandan Indah (satu), Lembah Jaya (empat), Bukit Antarabangsa (tiga) dan Teratai (empat).

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Kenal pasti tanah berpotensi sebagai lokasi pertanian

SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Negeri mengenal pasti tanah berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi pertanian memandangkan Program Keselamatan Bekalan Makanan akan dilakukan lebih agresif.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata ia membabitkan tanah milik Kerajaan Negeri, anak syarikat Kerajaan Negeri, kawasan lapang, rizab jalan, rizab sungai, rentis Tenaga Nasional Berhad dan tanah terbiar milik individu.

“Sehingga kini, kami berjaya mendapatkan maklumat tanah-tanah di bawah Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat dengan jumlah keluasan lebih kurang 8,127 ekar iaitu 3,843 ekar milik kerajaan dan 4,284 ekar milik anak syarikat,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Beliau berkata tanah milik Kerajaan Negeri akan diwartakan sebagai tanah pertanian sementara tanah anak syarikat yang tidak terlibat dengan sektor pertanian tetapi tidak dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan dimajukan sebagai kawasan pertanian makanan.

“Bagi tanah milik kerajaan sebagai contoh, Projek Tanaman Nanas MD2 di Sungai Panjang, Sabak Bernam dengan keluasan 60 ekar; Projek Tanaman Roselle dan lain-lain tanaman makanan di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam membabitkan 120 ekar dan Projek Akuakultur Udang Harimau di Sungai Nibong, Sabak Bernam iaitu 70 ekar.”

Izham menjelaskan kebanyakan tanah berpotensi terletak di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Kuala Langat.

“Manakala daerah lain pula mempunyai keluasan yang agak kecil tetapi masih boleh dilaksanakan projek pertanian berhasil serta bernilai tinggi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Siasat, dedah bilion saham, tanah Bumiputera hilang

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Persekutuan didesak untuk siasat dan mendedahkan berbilion saham dan tanah Bumiputera hilang akibat ketirisan dan bocor kepada individu tertentu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga perlu menjelaskan berkenaan penerima saham Bumiputera selain diperuntukkan untuk badan Bumiputera serta kedudukan terkini tanah rizab Melayu dijual dan tidak diganti.

Beliau juga mendesak supaya kajian segera dijalankan ekoran masih ada Bumiputera menderita meskipun peruntukan ekonomi dan pendidikan kepada kumpulan berkenaan amat besar.

“Kajian bebas dan inklusif perlu dilakukan sejajar pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dikatakan mahu membantu golongan benar-benar layak dan terpinggir.

“Kerajaan mesti segera mengkaji pendekatannya membantu Bumiputera dengan menghapuskan dasar yang hanya memperkaya gerombolan elit dan petinggi politik,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau kesal apabila keistimewaan yang kononnya mahu meningkatkan kesejahteraan ekonomi Bumiputera diperalat dengan memperkayakan golongan elit.

Katanya, ia lebih parah apabila jurang pendapatan antara kaya dan miskin semakin melebar.

“Kerajaan harus menumpukan perhatian merancakkan lapangan utama ekonomi dan memberikan dokongan secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mesti dikendalikan tokoh profesional berkelayakan dengan kepakaran dalam perniagaan sementara kedudukan pengurusan kanan tidak boleh ditentukan berdasarkan kecenderungan politik tetapi mesti atas asas merit jelas dan pencapaian masing-masing,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohd mengumumkan pembentangan RMK-12 ditangguhkan ke awal tahun hadapan atas faktor perubahan ekonomi susulan Covid-19 dan perubahan Kerajaan Persekutuan.

Pada sidang parlimen itu, Anwar berkata alasan yang diberikan Kerajaan Perikatan Nasional terlalu remeh.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pergerakan tanah masih aktif, penduduk usah khuatir – UPBN

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Penduduk kawasan berhampiran Taman Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa di sini yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh Sabtu lepas, tidak perlu bimbang walaupun pergerakan tanah di kawasan itu masih aktif.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata ini kerana pemantauan gerak cerun secara manual sejak dua hari lepas mendapati pergerakan tanah yang aktif mengikut kawasan berbeza.

“Pergerakan tanah ada berlaku tetapi penduduk tidak perlu bimbang kerana kawasan rumah yang lain berada dalam keadaan tidak berisiko berbanding kawasan rumah terjejas.

“Namun, kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dan pemantauan dari semasa ke semasa akan dilakukan. Setakat ini, Majlis Perbandaran Ampang Jaya melalui kontraktor yang dilantik, telah menutup rekahan tanah dengan kanvas seluas 1,200 meter persegi bagi mengelakkan berlaku mendapan tanah,” katanya.

Ahmad Fairuz berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja baik pulih kawasan kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan itu, di sini hari ini.

Ahmad Fairuz berkata penanaman dinding besi bagi menahan pergerakan tanah di Sungai Sering juga dilaksanakan dan proses itu dijangka siap esok sebelum proses membaiki struktur anak sungai dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Proses baik pulih cerun ini akan memakan masa enam bulan untuk siap dan penduduk terjejas dinasihat mengosongkan rumah atas faktor keselamatan ,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata tujuh anggota akan memantau dan berkawal dalam tempoh dua minggu ini bagi memastikan kawasan kejadian dan rumah penduduk selamat.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati masih ada penduduk yang terjejas pulang ke rumah untuk mengambil barang selepas diarah mengosongkan rumah susulan kejadian tanah runtuh tersebut.

Difahamkan penduduk hanya boleh mengambil barang di rumah tetapi tidak boleh mendiami rumah mereka dalam tempoh dijangka enam bulan susulan kerja baik pulih yang dijalankan di kawasan itu.

Sabtu lepas, tujuh rumah teres dua tingkat di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay di sini, terjejas oleh kejadian tanah runtuh di bahagian belakang kediaman terbabit menyebabkan 32 orang daripada enam keluarga diarah meninggalkan rumah masing-masing.

Mereka kini ditempatkan di Hotel De Palma, Ampang selama seminggu sebelum mencari kediaman lain.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Rampas tanah jika enggan bayar cukai

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 13 JUN: Pemilik tanah yang masih berdegil serta enggan membayar cukai berdepan tindakan rampasan, demikian tegas Pegawai Daerah dan Tanah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor.

Katanya, kegagalan menjelaskan cukai tanah lebih berisiko buat pemilik sekiranya mereka mempunyai kediaman atau harta benda berada di atas tanah yang sama.

“Kemungkinan lebih besar ialah pemilik tanah boleh kehilangan kediaman, disebabkan itu saya nasihatkan supaya bayarlah cukai tanah mengikut waktu ditetapkan.

“Kami juga mengalukan pemilik tanah hadir ke pejabat sekiranya ada kelemahan melalui pembayaran atas talian sistem ehasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Jamuan Aidilfitri Pejabat Daerah dan Tanah Klang di pejabatnya, hari ini.

Turut hadir memeriahkan ialah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian.

Mohd Zainal berkata, sehingga Mac lalu, kutipan cukai tanah daerah Klang adalah RM40 juta iaitu 36 peratus daripada jumlah target tahunan.

“Namun, target yang diberikan Kerajaan Negeri untuk kutipan cukai tanah di Klang ialah sebanyak RM119 juta.

“Untuk makluman, Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan ialah 90 peratus sahaja daripada jumlah berkenaan iaitu kira-kira RM105 juta, sehingga kini kita sasarkan sudah dapat mencapai 50 peratus kutipan pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan tahan tujuh individu kes tanah Ijok cemar imej Kerajaan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) melihat tindakan penahanan tujuh invidivu berkaitan kes tanah Ijok bertujuan mencemarkan imej Kerajaan Selangor serta bermotif politik.

Dalam kenyataan media, PAKATAN menyatakan rasa kesal dan menjelaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, melaksanakan tindakan penangkapan dan penahanan itu bagi melindungi kepentingan pihak atasan.

“Reputasi SPRM sudah tercemar dengan kegagalan untuk bertindak secara terperinci terhadap kes 1MDB iaitu kes berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta yang lain seperti FELDA.

“Tindakan sebegini akan terus merosakkan imej SPRM,” kata kenyataan bersama diberikan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan mantan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, di Parlimen di sini, semalam.

Katanya, empat daripada tujuh individu ditahan itu adalah anggota kumpulan perunding yang mempunyai kaitan dengan syarikat pemaju asal yang memulakan proses pembangunan projek berkaitan yang menimbulkan masalah dicipta Umno-BN, pada 1998.

Beliau berkata, laporan media arus perdana juga tidak bertepatan dengan keadaan sebenar apabila Kerajaan Selangor menjual kawasan Alam Perdana dan Alam Utama kepada pemaju.

“Kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan sejumlah besar kes undang-undang dan tuntutan pampasan besar dalam perkara itu yang akhirnya berjaya memastikan peneroka dibayar pampasan seperti dijanjikan serta mendapat rumah bernilai kira-kira RM500,000 hari ini.

“Kerajaan Selangor juga mengembalikan tanah Alam Perdana seluas 1,000 hektar kepada pemiliknya,” katannya.

Katanya, ia jelas menafikan usaha Kerajaan Selangor yang berjaya membetulkan keadaan dan mengembalikan hak juga pampasan kepada pemilik tanah.

“Umno-BN yang timbulkan masalah kepada 1,000 peneroka pada 1998 apabila mengambil tanah dan memberikan kepada kroni mereka serta gagal untuk menunaikan janji.

“Kerajaan Selangor sudah menyelesaikan kes ini mengikut undang-undang dan mengembalikan keadilan kepada peneroka,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pemimpin UMNO harus terima hakikat tak berjaya selesai isu tanah di Ijok

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 22 FEB: Pemimpin UMNO seharusnya memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri selepas hampir 20 tahun isu rumah terbengkalai Alam Mutiara dan Alam Utama Bukit Cerakah dapat diselesaikan pimpinan kini.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Rumah Terbengkalai Alam Mutiara daan Alam Utama Bukit Cerakah, Umar Ali Bashah berkata, segelintir pemimpin UMNO harus terima hakikat bahawa mereka tidak berjaya menyelesaikan masalah itu sejak 20 tahun lalu kerana terlalu mementingkan diri.

“Selepas penantian selama 20 tahun selesai, mengapa masih ada pemimpin UMNO yang pertikai sedangkan masalah ini berlaku ketika zaman mereka dan pemimpin ketika itu tidak dapat selesaikannya.

“Jika Selangor masih di bawah pemerintahan UMNO-Barisan Nasional, pasti tanah ini dilelong bank dan institusi pemberi pinjaman,” katanya ketika sidang media di Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini, pada 20 Februari lalu.

Umar berkata, hanya 987 peneroka daripada 1063 sahaja yang berhak mendapat rumah dan 76 peneroka selebihnya menjual lot rumah kepada pemaju lama.

Katanya 358 daripada 987 peneroka itu tidak sempat melihat rumah terbabit siap dibina kerana sudah meninggal dunia.

“Kami bersyukur kerana akhirnya projek terbengkalai ini dapat diselesaikan dan menerima RM180,000 wang pampasan serta sebuah rumah dengan harga RM250,000.

“Selepas siapnya rumah itu, ia akan bernilai tidak kurang dari RM450,000. Ini bermakna kita mendapat wang pampasan dan aset keseluruhan berjumlah RM630,000,” katanya,

Beliau turut melahirkan rasa syukur kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kerana berjaya menyelesaikan masalah itu hingga berjaya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peneroka tanah Ijok dapat pampasan RM180,000 dan rumah RM400,000

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 FEB: Nasib peneroka tanah di mukim Ijok terus dibela apabila Kerajaan Negeri memberi pampasan RM180,000 dan rumah bernilai sekurang-kurangnya RM400,000.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong berkata, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, amat mementingkan pembelaan peneroka tanah, di kawasan itu.

“Masalah berkenaan sebenarnya timbul ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu peneroka menunggu selama 18 tahun untuk memperoleh keadilan.

“Walaupun tanah itu diberi kebenaran untuk dirampas dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, namun Kerajaan Negeri perlu membayar pampasan sehingga ratusan juta ringgit kepada dua syarikat

“Masalah itu yang diwarisi Azmin kini berjaya diselesaikan apabila beliau menjual tanah berkenaan kepada pemaju berwibawa sebanyak RM1.18 bilion dan membolehkan peneroka memperoleh pampasan dan rumah kediaman,” katanya dalam kenyataan.

Shao Loong berkata, tindakan segera Azmin menyelesaikannya adalah prinsip keadilan sosial dan peduli rakyat Kerajaan Negeri.

“Berbeza dengan BN yang ‘menghadiahkan’ tanah seluas 3,200 ekar di Ijok dengan harga murah kepada syarikat kroni serta mengabai nasib peneroka.

“Tindakan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, mempersoalkan langkah Kerajaan Negeri jelas menunjukkan pemimpin BN itu dangkal, tidak faham fakta dan tidak memahami latar kes mahkamah berhubung isu tanah, di Ijok,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Rahman juga jelas menunjukkan UMNO dan BN panik kerana Mohamed Azmin berjaya menyelesaikan masalah peneroka tanah terbabit hanya dalam tempoh empat tahun, berbanding pengurusan FELDA oleh BN yang semakin tenggelam dengan penyelewengan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kenapa tak laksana ketika rakyat beri peluang 50 tahun berkuasa?

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 11 JAN: Rakyat Selangor diingatkan supaya tidak lagi terpedaya dengan janji palsu ditabur Umno-Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kepura-puraan Umno-BN ini dapat dilihat apabila mereka tidak mengendahkan untuk melaksanakan dasar mementingkan kebajikan rakyat semasa diberikan peluang selama lebih 50 tahun berkuasa, di Selangor.

“Mereka diberikan peluang untuk berkuasa di Selangor sekian lama tetapi perkara seperti ini tidak pernah dilakukan.

“Sebagai pembangkang mereka boleh janjikan semua perkara, tetapi saya kira dasar Kerajaan Negeri hari ini memberikan manfaat langsung kepada rakyat untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup.

“Contohnya, enam keluarga yang mendapat tanah pagi ini diberikan pilihan sama ada untuk membayar premium semasa mengikut Kanun Tanah Selangor atau membayar minima hanya RM1,000 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil yang kononnya Umno-BN mahu menurunkan cukai hartanah di Selangor bagi mengurangkan harga rumah, kos perniagaan serta harga barangan dan perkhidmatan pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemimpin Umno-BN sebelum ditumbangkan Pakatan pada 2008 begitu yakin mereka tidak akan dapat ditumbangkan parti pembangkang tetapi sebaliknya akan kekal berkuasa selamanya, di negeri temaju itu.

Keadaan terbabit menyebabkan pemimpin Umno pada masa itu dilihat sebagai golongan elit dan angkuh di mata masyarakat kerana kedudukan tinggi dan kemewahan yang mereka miliki.

Pemimpin Umno pada masa itu juga dengan bongkak berani menayangkan kekayaan masing-masing termasuk geran tanah yang dimiliki secara salah kepada rakyat seperti yang pernah diceritakan penduduk Sungai Besar, Majid Mohd Yusoff, 45, kepada SelangorKini sedikit masa dahulu.

“Ini memang berlaku, mereka duduk di kedai kopi masa itu dengan berlagak mengaku gerannya sahaja dah setengah kilo, tiga keturunan, empat keturunan tak habis makan. Ini perkara biasa pada mereka di ketika itu, memang cukup angkuh,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor selesaikan masalah peneroka tanah projek persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANGI, 11 JAN: Masalah penempatan yang dihadapi peneroka tanah Kerajaan Persekutuan akhirnya diselesaikan Kerajaan Negeri apabila enam peneroka terbabit diberikan tanah kediaman di Taman Mas, Kajang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu berikutan tanah yang didiami mereka pada masa ini akan dibangunkan projek pembangunan wad tambahan wanita dan kanak-kanak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ini keputusan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah penempatan peneroka tanah Kerajaan Persekutuan yang perlu diselesaikan segera memandangkan ada cadangan pembangunan untuk membangunkan wad tambahan untuk wanita dan kanak-kanak di tapak berkenaan.

“Tapak tanah ini milik Kerajaan Persekutuan tetapi kita merasakan tanggungjawab bersama untuk melihat bagaimana peneroka ini dapat ditempatkan di satu tempat kekal dan pembangunan dapat diteruskan.

“Dengan sokongan dan kerjasama Pegawai Daerah Hulu Langat dan pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Kerajaan Negeri, maka kita dapat selesaikan perkara ini dengan baik dengan enam keluarga diberikan pemilikan tanah di Taman Mas, Kajang,” katanya pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, di sini, hari ini.

Katanya, penerima tanah terbabit juga diberikan tawaran untuk memilih sama ada mahu membayar mengikut nilai semasa seperti tertakluk dalam Kanun Tanah Selangor atau bayaran minima hanya RM1,000 sahaja.

Beliau berkata, tawaran itu dibuat bagi menggalakkan penerima tanah terbabit tidak menjual tanah masing-masing tetapi sebaliknya mewariskannya kepada generasi akan datang.

“Tiada negeri dalam negara ini memberikan tawaran sedemikian rupa kerana mereka keluarga yang susah, maka kita berikan pilihan itu asalkan mereka tidak menjual tanah terbabit kepada pihak lain kerana kita mahu mereka mendapat tanah ini dan menjaga tanah ini untuk generasi akan datang,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tanah hak rakyat, selesaikan pemilikan segera

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerajaan Negeri menegaskan rakyat berhak memiliki tanah di Selangor dan menjadi keutamaan meluluskannya supaya mereka tidak menunggu lama bagi memperolehnya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penyerahan notis 5A kepada penduduk Kampung Melayu Subang Tambahan adalah tindakan Kerajaan Negeri yang mahu masalah pemilikan tanah berlarutan sekian lama diselesaikan segera.

“Tanah ini adalah hak mereka dan tak perlu diminta maka sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat, ia mesti diserahkan kepada rakyat.

“Saya rasa terkilan kerana mereka menunggu lebih dua dekat hanya semata-mata untuk mendapat sebidang tanah,” katanya dalam Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) Kampung Melayu Subang Tambahan di sini, semalam.

TanahBeliau berkata, berbanding pentadbiran sebelumnya, Kerajaan Negeri ketika ini memberi keutamaan kepada perkara itu dan menjadi antara agenda penting dibincang serta diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) setiap minggu.

Katanya, Kerajaan Negeri pada hari ini hanya akan meluluskan permohonan memiliki tanah kepada rakyat dan tidak kepada pimpinan politik.

“Kita pernah dengar sebelum ini pimpinan politik bukan dapat sebidang tanah tetapi berpuluh ekar, itu realiti yang tiada mana-mana pihak boleh menafikan.

“Saya berani nyatakan dengan tegas di hadapan rakyat Selangor, pemimpin tidak boleh dan berhak mendapat tanah di dalam negeri ini kerana ini adalah hak rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembangunan pesat di Selangor menyebabkan nilai tanah meningkat begitu tinggi maka Kerajaan Negeri memberi kelonggaran menerusi bayaran premium RM1,000 dengan syarat rakyat tidak menjual tanah dimiliki.

Dalam majlis itu, seramai 64 orang menerima notis 5A daripada Mohamed Azmin.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Khairuddin Othman; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim; Pegawai Daerah Petaling, Dato’ Misri Idris; Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Kota Damansara, Razlan Jalaluddin dan hadirin lain.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Prosedur terlalu lama punca hartanah wakaf belum daftar MAIS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Prosedur yang lama bagi pindah milik tanah wakaf daripada geran bersama kepada milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyebabkan hartanah wakaf belum didaftarkan atas nama MAIS.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang berkata, prosedur terbabit merupakan salah satu sebab PWS ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi pengurusan hartanah wakaf kurang memuaskan.

“Dalam maklum balas PWS pada September 2015, sebanyak 14 permohonan selesai dipindah milik dan 26 lagi masih belum diselesaikan kerana memerlukan tindakan PWS, pewakaf serta pejabat tanah dan daerah.

PERBADANAN WAKAF SELANGOR (PWS)“Proses penukaran hak milik kebanyakannya berlarutan sehingga enam bulan, oleh itu pengurusan hartanah tidak dapat dilakukan kerana masih milik pewakaf,” katanya di taklimat Jawantuakuasa Kira-Kira Wang Selangor (PAC), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, PWS sentiasa mencari mekanisme terbaik bagi menangani masalah itu secara efektif dan status terkini daripada 40 sampel audit itu hanya tinggal 14 tanah belum diselesaikan.

“Ia termasuk 12 daripadanya sudah diterima hak milik asal baru-baru ini dan kini dalam proses pindah milik ke atas nama MAIS.

“Manakala, satu lagi dalam tindakan penyerahan pemberi milikan kepada MAIS kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sabak Bernam.

“Satu tanah lagi menjadi isu dengan PTD Sabak Bernam kerana tidak mengiktiraf proses pemberi milikan semula tanah yang diwakafkan individu kerana PTD itu mahu menjadikan tanah itu sebagai tanah kerajaan,” katanya.

Terdahulu, hasil pengauditan mendapati, data daftar hartanah wakaf tidak lengkap dan tidak kemas kini dengan 27.5 peratus hartanah wakaf masih belum didaftarkan hak milik MAIS.

Sebanyak 87.6 peratus daripada hartanah wakaf yang sudah didaftarkan sebagai hak milik MAIS tidak diwartakan, manakala 75.3 peratus masih belum dimanfaatkan.

Sementara itu, Pengerusi PAC, Ng Suee Lim berpuas hati dengan respon yang diberikan PWS dalam taklimat terbabit.

Beliau berharap, PWS mencari mekanisme yang baik bagi menyelesaikan isu itu dan objektif PWS untuk mengemaskini tanah wakaf di Selangor berjalan dengan baik.

-NFN-