Categories
NASIONAL

Abdullah Sani tawar diri bertanding Timbalan Presiden MTUC

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 5 DIS : Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada persidangan perwakilan pemilihan yang akan berlangsung, pada 22 Disember ini.

Abdullah berkata, pengalaman dan kedudukannya sebagai wakil rakyat selama dua penggal akan mebolehkan segala isu berbangkit berkenaan pekerja dapat disampaikan dengan lebih efektif di Dewan Rakyat.

abdullah sani“MTUC sebagai lidah kaum pekerja akan lebih efektif seandainya diwakili di Parlimen. Melalui wakil MTUC di Parlimen, isu semasa kaum pekerja dapat disampaikan dengan telus, cepat, tepat dan berkesan.

“Hubungan terus antara wakil MTUC di Parlimen dengan Kementerian Sumber Manusia adalah sangat perlu dan penting memandangkan isu pekerja adalah mendesak dan berlaku pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Abdullah mula aktif menyertai MTUC pada tahun 1984 apabila beliau menyandang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

Pencalonan bagi pemilihan MTUC yang dibuka pada 1 Oktober lalu dan ditutup 1 November lalu menyaksikan terdapat pertandingan bagi semua jawatan penting.

Timbalan Presiden MTUC, Mohd Jafar Abd Majid menerima 10 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya itu, manakala Abdul Razak Md Hassan, yang juga Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu dan Abdullah Sani, masing-masing menerima 15 dan dua pencalonan bagi jawatan itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.