Categories
NASIONAL

Ahli Parlimen Kuantan kesal isu banjir dipandang remeh

Ahli Parlimen Kuantan kesal isu banjir dipandang remeh

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 4 DIS : Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kesal usul tergemparnya berhubung pengisytiharan darurat di beberapa kawasan yang terbabit dalam banjir di Pahang ditolak sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang ditemui pada sidang media di lobi Parlimen berkata usul itu ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana memerlukan notis selama dua hari secara bertulis.

fuziahsallehFuziah berkata, perkara yang disifatkan sebagai kecemasan harus dipertimbangkan Speaker terutama apabila membabitkan nyawa rakyat.

“Saya tidak dapat menyiapkan teks atau notis kerana mendapat banyak aduan sejak awal pagi daripada penduduk terutama di Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar yang kini berhadapan banjir teruk, yang mana kebanyakan kawasan ini terputus bekalan elektrik dan air.

“Mereka juga tidak dibekalkan makanan dam pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tidak dapat dihubungi untuk memohon bantuan,” katanya.

Fuziah turut melahirkan kekesalannya terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mempersendakannya dan tidak prihatin terhadap kesengsaraan rakyat yang berdepan bencana banjir.

Katanya, kerajaan pusat juga lambat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dan hanya mula mengarahkan pihak berkuasa untuk memulakan kerja menyelamat apabila usul itu dibentangkan.

“Saya kesal dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kata saya tidak prihatin dengan rakyat kerana meninggalkan kawasan dalam keadaan sekarang. Saya ingin tekankan bahawa kedatangan saya ke sini adalah untuk menggesa kerajaan pusat supaya segera menghulurkan bantuan.

“Malam tadi berlaku banjir, tapi hari ini baru ingin mengarahkan pihak berwajib turun memberi bantuan,” katanya.

Keadaan banjir di Pahang kini semakin buruk dan ramai mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.