Categories
NASIONAL

FOMCA : Kerajaan Pusat patut tangguh naik kadar tol

Oleh : Norhayati Umor

SHAH ALAM 15 DIS : Kerajaan Pusat patut menangguhkan kenaikan kadar tol yang dijangka bermula 2014 kerana ia akan menambah bebanan kepada ekonomi rakyat ekoran pelbagai jenis kenaikan barang dan perkhidmatan juga akan berlaku.

FOMCAPengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abd Rahman,berkata kenaikan yang dikatakan berpunca daripada perjanjian konsesi itu sebenarnya hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Katanya, perjanjian berat sebelah itu juga akhirnya akan menambah beban rakyat dengan pelbagai kenaikan bermula tahun 2014.

“Sudah banyak kali semakan tol dibuat. Dalam perjanjiannya, setiap tiga tahun kadar tol akan disemak, jika tidak patuhi kerajaan perlu bayar pampasan itu.

“Dalam masalah ini, kita lihat kerajaan tidak mahu lagi membayar oleh itu kadar tol dinaikkan dan kerajaan terpaksa membenarkan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengesahkan kadar tol akan dinaikkan pada tahun hadapan.

Menurut laporan media, Abdul Wahid berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana ia terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

tol naikYusof berkata kerajaan perlu sedar pelbagai kenaikan pada tahun hadapan akan menekan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat lebih lagi warga kota.

“Kerajaan juga perlu menilai perjanjian berat sebelah yang dibuat tanpa pengetahuan umum. Oleh itu seharusnya kerajaan menangguh semakan tol supaya ia tidak dinaikkan tahun hadapan agar tidak memberi kesan kepada rakyat disebabkan beban yang pelbagai bermula tahun depan,” katanya.

naik tolDesas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun depan antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.

Akhbar melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1. Terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.