Categories
KENYATAAN MEDIA

Gangguan air: PBT diarah pastikan lif berfungsi dan sedia lori tangki air

Kerajaan Negeri telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memantau kemudahan lif di rumah-rumah bertingkat khususnya Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi meringankan beban penduduk berikutan gangguan bekalan air yang dijangka bermula hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata PBT perlu memastikan lif berfungsi dengan baik manakala lif yang rosak diperbaiki untuk memudahkan penduduk di PPR mengangkut air ke rumah masing-masing.

gangguan-bekalan-airBeliau juga mengarahkan PBT meletakkan lori-lori tangki dalam keadaan siap sedia untuk menghantar bekalan air ke kawasan-kawasan terjejas sekiranya mendapat permintaan daripada penduduk.

Selain itu, beliau juga telah meminta pihak Konsortium ABBAS Sdn Bhd, syarikat milik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) supaya membekalkan air minuman kepada penduduk jika keadaan memerlukan.

“Saya berharap jika berlaku lagi keadaan seperti ini (hentitugas loji) pihak yang terlibat perlu memaklumkan lebih awal kepada Kerajaan Negeri supaya mudah untuk kita membuat perancangan dan gerak kerja bagi membantu mengurangkan kesukaran yang dihadapi pengguna,” katanya selepas mendengar taklimat oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang turut dihadiri wakil-wakil PBT di Bangunan SUK, semalam,

Dalam perjumpaan itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan takungan air mentah di semua kolam takungan di Selangor lebih dari mencukupi malah melimpah ekoran hujan hampir setiap hari sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, SYABAS dalam taklimat memaklumkan pihaknya meletakkan 66 lori tangki dalam keadaan siap sedia dan 750 tangki statik sekiranya diperlukan untuk diletakkan di kawasan-kawasan strategik untuk membekalkan air pada waktu kecemasan.
Disediakan oleh
Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published.