Categories
NASIONAL

PLUS untung 61 peratus, KESAS 121 peratus, Litrak 49 peratus

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 17 DIS: Keuntungan pengendali syarikat pemegang konsesi lebuh raya berlipat kali ganda setiap tahun hingga melebihi unjuran semasa menandatangani kontrak konsesi antara kerajaan dan syarikat terbabit.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata laporan tahunan Projek Lebuh Raya Utara Selatan Bhd (PLUS) menunjukkan keuntungan bersih 2011 sebelum cukai ialah RM2.515 bilion atau 61 peratus berbanding jumlah bersih kos faedah dan pembiayaan kewangan RM507 juta kos ditanggung pada 2010 termasuk enam peratus kos menyelenggara.

rafizi-pcKatanya, Syarikat pengendali Lebuh raya Shah Alam (Kesas), Kesas Sdn Bhd pula mencatat keuntungan terkumpul berganda 121 peratus antara tahun kewangan 2008 hingga 2012 seperti dilaporkan Maybank Investment Bank Research bertarikh 6 November 2013.

Litrak Bhd yang mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Sprint, berdasarkan keputusan kewangan bagi 2013 mencatat keuntungan bersih RM180 juta atau 49 peratus berbanding kos menyelenggara enam peratus.

“Tidak banyak perniagaan di dunia ini yang mencapai peratus keuntungan bersih hingga 61 peratus seperti yang dicatat PLUS. Melihat kos menyelenggara hanya enam peratus dari jumlah kutipan tol setiap tahun, menunjukkan kadar tol sedia ada membawa keuntungan berlipat kali ganda.

“Setiap kenaikan (baru) hanya menambahkan lagi keuntungan mereka sedangkan rakyat terus terbeban dengan tekanan ekonomi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Kata Rafizi, dakwaan kononnya kerajaan terpaksa memenuhi perjanjian antara kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya sebagai alasan untuk menaikkan kadar tol hanya  alasan tidak masuk akal.

Syarikat terbabit yang turut mendapat bantuan kewangan dan subsidi kerajaan itu juga memperoleh keuntungan berlipat kali ganda setiap tahun sehingga melebihi unjuran semasa menandatangani kontrak konsesi dengan kerajaan.

Rafizi membidas kenyataan beberapa menteri dalam beberapa isu yang menyentuh kepentingan rakyat dengan membayangkan seolah-olah mereka terpisah dari realiti kehidupan sebenar rakyat.

“Adakah mereka ini datang dari bulan? Saya membidas sekeras-kerasnya kenyataan Datuk Seri Abdul Wahid Omar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang memberi kata dua kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan jalan bertol jika tidak bersetuju dengan kenaikan tol,” katanya..

Rafizi berkata, PKR mendesak kerajaan menyemak semula keputusan untuk menaikkan kadar tol lebuh raya yang bermula tahun depan.

-EZY FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.