Categories
SELANGOR

Kenaikan gaji selari dengan polisi nilai untuk wang

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 2 DIS : Kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Speaker DUN dan Exco selari dengan polisi nilai untuk wang yang diamalkan kerajaan negeri selama ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kenaikan itu juga bagi membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian dan menjalankan tugas dengan baik tanpa melakukan kerja lain untuk menanggung keperluan mereka.

sidang dun 21-11-13 - 5Ujarnya, ADUN juga adakala tidak dapat menghindarkan diri daripada masalah kewangan selain perlu berdepan dengan tanggungan yang besar.

“Strategi kerajaan telus memberi pendapatan setimpal iaitu nilai untuk wang bagi ADUN dan jika mereka dibayar dengan harga yang rendah, polisi tidak betul.

“Kita katakan belanjawan negeri berdasarkan nilai untuk wang tetapi tidak melaksanakan apa yang dirangkakan,” katanya.

Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan kenaikan gaji 56 anggotanya yang akan mula berkuatkuasa pada Januari 2014 dengan Timbalan Speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3 peratus yang diumumkan, pada 28 November lalu.

Terdahulu, beliau menjawab soalan daripada Lee Chin Cheh (DAP-Kajang) berhubung status aktiviti ekonomi utama Selangor.

Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, aktiviti ekonomi utama terbesar di Selangor bergantung kepada bidang perkhidmatan berbanding sebelum ini yang membabitkan sektor perindustrian.

Sektor perindustrian kini hanya menyumbang sebanyak 40 peratus berbanding perkhidmatan yang kini menyumbang 58 peratus.

“Pertumbuhan sektor perindustrian agak sederhana kerana pergerakan ekonomi dunia agak lembab terutama di Eropah dan Amerika.

“Antara penyumbang dalam sektor perkhidmatan adalah utiliti dan pengangkutan (17.3 peratus), perdagangan buruh dan runcit (18 peratus), kewangan, insurans dan industri hartanah (20 peratus),” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.