Categories
SELANGOR

Konsep telus bantu Selangor capai pelaburan RM53.2 bilion

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 2 DIS : Selangor terus mendahului negeri lain dengan jumlah pelaburan RM53.2 bilion daripada 1,560 projek perkilangan yang diluluskan bagitempoh 2008 hingga Ogos lalu.

Exco Pelaburan, Ean Yong Hian Wah, berkata pelaksanaan dasar pelaburan yang telus dan pragmatik oleh kerajaan negeri antara faktor yang berjaya menarik lebih ramai pelabur asing ke Selangor.

sidang dun bersidang 7Beliau berkata, penganjuran dan penyertaan misi pelaburan ke luar negara serta jalinan kerjasama dengan dewan perniagaan serata dunia yang giat dijalankan turut menggalakkan aktiviti pelaburan.

Katanya, kerajaan negeri juga menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat multinasional di Selangor bagi membantu mempromosikan negeri itu kepada pelabur di negara masing-masing.

“Kelebihan strategi ini menunjukkan pelabur terus dibantu termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, kerjasama antara pelabur dan kerajaan negeri melalui penubuhan Industrial Park Management Committee (IPMC) juga dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya ketika menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (DAP-Selangor) berhubung strategi pelaburan ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri turut giat mempromosi dan mengiklankan peluang pelaburan melalui majalah perniagaan dalam juga luar negara selain meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di semua peringkat termasuk PBT.

Ean berkata, konsep ‘Mesra Pelabur’ yang diterapkan dengan mengadakan lawatan dan perjumpaan bersama pihak industri secara berkala bagi mendapatkan maklum balas berkenaan permasalahan yang dihadapi turut memberi kesan positif.

“Pemantauan yang lebih kerap terhadap projek yang sedang dilaksanakan membantu kita mengenalpasti segala isu yang dihadapi pelabur bagi mencari penyelesaian supaya industri terus beroperasi.

“Kita juga menubuhkan Unit Pelaburan di peringkat PBT bagi memudahkan pelabur dalam proses pelaburan di Selangor,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.