Categories
NASIONAL

Kes Rasuah AG tiada tindakan SPRM, PKR buat laporan ke Hong Kong

Oleh :Norhayati Umor,

PETALING JAYA 16 DIS : Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat laporan ke pihak berkuasa Hong Kong bersabit isu rasuah Pulau Batu Putih yang membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

rafizi pc white stripes 02Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata sebagai Ahli Parlimen dan Pengarah Eksekutif badan pemantau rasuah National Oversight dan Whistleblowers Centre (NOW Centre) perkara terbabit perlu dibawa ke pihak berkuasa Hong Kong bagi siasat lanjut.

Katanya, tindakan itu diambil ekoran tiada tindakan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diambil walaupun akaun bersumpah oleh Bekas Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dibuat dan diedarkan hampir sebulan lalu.

“Saya memandang serius dakwaan bahawa ada unsur sogokan dalam pengendalian kes Pulau Batu Putih yang membabitkan Peguam Negara seperti yang didakwa oleh Tan Sri Shafee Abdullah.

“Memandangkan dakwaan itu dibuat di dalam akaun bersumpah oleh seorang tokoh bekas pegawai kanan polis yang bersedia mempertahankannya di dalam dan luar mahkamah, saya percaya dakwaan bahawa ada unsur sogokan perlu disiasat sepenuhnya,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Rafizi berkata pihaknya akan menghantar laporan dan permohonan rasmi kepada Setiausaha Keadilan Hong Kong, Rimsky Yuen, Pengarah Pendakwaan Awam Hong Kong, Keith Yeung dan Ahli Parlimen Hong Kong, James To selepas beberapa butiran lanjut dikeluarkan.

“NOW Centre menjalin hubungan baik dengan mereka semasa siasatan terhadap salah laku rasuah Tan Sri Musa Aman dibuat tahun lalu.

“Jadi kita akan bekerjasama menyiasat dakwaan wang sogokan dimasukkan ke akaun Peguam Negara di Hong Kong.

“Setakat ini, pihak berkuasa Hong Kong berupaya dan berkuasa untuk menyiasat urusniaga pemindahan wang ke akaun di negara itu jika disyaki membabitkan wang rasuah dan penggubahan wang haram,” katanya.

Beliau percaya sekiranya siasatan dapat dimulakan di negara itu, Kerajaan Malaysia tidak mempunyai pilihan lain kecuali memberi maklumbalas akan perkara itu.

“Kita juga mendesak pihak kerajaan mengambil langkah-langkah wajar untuk mengantung sementara perkhidmatan Gani Patail sehingga siasatan di Hong Kong selesai,” katanya.

Sebelum ini, Mat Zain membuat satu akaun bersumpah mengenai perbincangannya dengan seorang peguam Umno, Shafee.

Akaun bersumpah itu berkisar tentang dakwaan penyelewengan membabitkan Gani dan dakwaan terbesar rasuah kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Dalam akaun berumpahnya, Mat Zain membuat kenyataan ‘sehubungan perkara ini, Shafee menambah secara serius, mengatakan kepada saya “you will not believe your eyes if you were to see the amount of cash that was transferred into Ganis’s account in Hong Kong…”.

Leave a Reply

Your email address will not be published.