Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPRM beri jaminan siasatan kes rasuah secara telus – Azam

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan setiap siasatan terhadap kes rasuah dilakukan tanpa sebarang keraguan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata setiap tindakan dilakukan agensi itu adalah jelas dan tidak berkompromi selain meminta semua pihak bersabar agar siasatan dapat dilakukan secara terperinci untuk hasil yang lebih baik.

Beliau juga meminta semua pihak tidak memberikan persepsi negatif terhadap kes yang sedang disiasat selain memberi ruang dan masa kepada SPRM terutama ketika negara sedang menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19.

“(Misalnya) Kes keputusan mahkamah semalam (pada Rabu) merupakan proses yang terpaksa dilalui (selain) menghadapi cakap-cakap negatif orang ramai yang menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM.

“Seolah-olah SPRM tidak menjalankan tugasnya tapi kami memohon supaya semua pihak bersabar sebab (terdapat) kekangan yang kami hadapi (semasa menjalankan siasatan),” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV semalam.

Azam berkata tiada sesiapa yang boleh menyekat setiap tindakan SPRM dan hanya masa yang ‘sedikit menjejaskan’ mereka dalam menentukan cepat atau lambat sesuatu siasatan dijalankan.

“Tapi yang saya mohon ialah kesabaran dan saya beri jaminan bahawa tindakan kami akan sentiasa berterusan sepertimana sebelum ini,” katanya.

Pada Rabu, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Sementara, seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang merupakan bekas pengerusi Mara Inc ditahan SPRM pada Rabu dan akan didakwa hari ini atas 22 pertuduhan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM33.45 juta daripada pembelian kontroversi hartanah di Melbourne, Australia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Mahkamah tetapkan tarikh baharu bicara kes rasuah Abdul Azeez

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Mahkamah Sesyen di sini akan menetapkan tarikh baharu bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Abdul Azeez, memberitahu Bernama melalui mesej Whatsapp hari ini, bahawa mahkamah menetapkan 18 Mei ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh baharu perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi.

Perbicaraan kes dijadual bermula pada 16 Mac lalu tetapi ditangguhkan pada 16 dan 17 April serta 20 hingga 22 April berikutan permohonan Hisyham untuk bercuti sakit bermula 11 Mac sehingga 10 April disusuli pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Abdul Azeez, 53, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta, manakala abangnya menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Bagi pertuduhan rasuah, Abdul Azeez dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi kes pengubahan wang haram, dia dituduh melakukan kesalahan itu di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abdul Latif, 62, pula didakwa secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, yang juga pengarah syarikat, Menuju Asas Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek pembinaan jalan secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Esok keputusan akhir kes rasuah RM2 juta Ku Nan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Nasib Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan diketahui esok sama ada bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, tiga tahun lepas.

Sekiranya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Tengku Adnan, maka beliau akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya Tengku Adnan akan dilepas dan dibebaskan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 68, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, 60, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan

Pada 23 Januari lepas, Tengku Adnan, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Seramai 23 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang mengambil masa 12 hari bermula 2 Julai lalu dan antara saksi tersebut ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai.

Semasa hujahan di akhir kes pendakwaan, peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan berkata bahawa tidak wujud kes prima facie dalam kes yang dihadapi anak guamnya.

Tan berhujah bahawa Chai dalam keterangannya sebelum ini berkata Tengku Adnan ada memberitahunya bahawa UMNO memerlukan dana politik lebih kurang RM5 hingga RM6 juta untuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim pula berhujah bahawa berdasarkan keterangan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Saad Bordani menunjukkan tiada transaksi kemasukan wang RM2 juta ke dalam akaun UMNO dan tidak ditemui sebarang resit bayaran wang itu kepada parti politik berkenaan.

Julia berkata, hujahan pihak pembelaan bahawa siasatan dilakukan Muhammad Saad tidak lengkap adalah tidak berasas memandangkan tidak terdapat sebarang dokumen menunjukkan wang yang dibayar kepada THSB merupakan sumbangan politik.

Katanya, berdasarkan keterangan Penolong Pengurus Akaun dan Kewangan THSB, Rabiatul Adawiyah Sobri yang mengesahkan tiada pengeluaran wang RM2 juta daripada akaun THSB kepada UMNO, menunjukkan bahawa wang berkenaan bukan untuk PRK Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon, 71, yang kini masih dalam peringkat perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tan juga didakwa di mahkamah dan kesnya bersama Tengku Adnan pada mulanya ditetapkan untuk dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, Tan mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta dan didenda RM1.5 juta oleh Hakim Mohd Nazlan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes rasuah Ahmad Zahid didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi tujuh pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD4.24 juta berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata beliau tidak menemui kekhilafan dalam perintah pemindahan yang dibuat Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948.

“Berdasarkan rekod prosiding di Mahkamah Sesyen dalam memindahkan tujuh pertuduhan itu ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, tidak juga perintah pemindahan itu dikatakan dalam apa juga cara sebagai tidak mengikut undang-undang atau tidak sesuai untuk mewajarkan mahkamah ini supaya menyemak semula perintah pemindahan oleh Mahkamah Sesyen.

“Berdasarkan alasan di atas saya menolak permohonan ini,” katanya, dan menambah, satu-satunya isu berbangkit adalah hujah bahawa ia bagi kesenangan saksi untuk pertuduhan itu didengar di Kuala Lumpur dan bukan di Shah Alam.

“Bagaimanapun, di Malaysia pada masa ini hanya ada sedikit perbezaan antara Shah Alam dan Kuala Lumpur berdasarkan kepada pembangunan yang dibuat kepada sistem jalan raya dan pengangkutan di Lembah Klang.

“Selain itu, bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk melihat mereka yang bekerja di Kuala Lumpur dan Putrajaya menetap di Shah Alam atau sebaliknya, dan ini tidak diambil kira kepada bakal saksi pembelaan sekiranya mereka dipanggil memberi keterangan,” katanya.

Pihak pendakwaan memohon untuk menyemak keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad pada 31 Julai lepas yang membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan kes itu untuk dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun berhujah bahawa saksi-saksi pendakwaan berpusat di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan fakta ini telah dinyatakan dalam afidavit jawapan pendakwaan.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid berkata walaupun kes itu didengar di Mahkamah Shah Alam, ia tidak akan membebankan mana-mana saksi untuk hadir.

Pada 26 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa atas tujuh pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat berjumlah SGD4.24 juta membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN), dua tahun lepas.

Bagi semua pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa telah menerima rasuah berjumlah SGD4.24 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem VLN.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rosmah tidak ke mahkamah, kemuka sijil cuti sakit

KUALA LUMPUR, 5 APR: Datin Seri Rosmah Mansor tidak hadir pada prosiding sebutan kesnya yang didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek tenaga solar, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana tidak sihat.

Pada mulanya kes itu bermula pukul 9 pagi di mana pasukan pembelaan dan pendakwaan dilihat memasuki ke kamar hakim.

Selepas prosiding dalam kamar hakim Collin Lawrence Sequerah, media dimaklumkan bahawa mahkamah mahu melihat ‘sijil tidak sihat untuk hadir ke mahkamah’ dan kes ditangguhkan selama tiga jam.

Pada pukul 12 tengahari mahkamah bersidang dan peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu mengemukakan sijil cuti sakit dan sijil tidak sihat untuk hadir ke mahkamah kepada hakim berkenaan.

“Dia tidak sihat untuk hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar kemudiannya membuat permohonan secara lisan memindahkan kes rasuah projek tenaga solar membabitkan Rosmah ke Mahkamah Tinggi 2 di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Ini kerana, kes pengubahan wang haram membabitkan Rosmah dan kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor, akan didengar di mahkamah sama (Mahkamah 2),” katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah membantah permohonan berkenaan, dengan alasan pihak pendakwaan perlu membuat permohonan secara bertulis.

Hakim menetapkan 23 April untuk mendengar permohonan berkenaan.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Rasuah AG tiada tindakan SPRM, PKR buat laporan ke Hong Kong

Oleh :Norhayati Umor,

PETALING JAYA 16 DIS : Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat laporan ke pihak berkuasa Hong Kong bersabit isu rasuah Pulau Batu Putih yang membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

rafizi pc white stripes 02Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata sebagai Ahli Parlimen dan Pengarah Eksekutif badan pemantau rasuah National Oversight dan Whistleblowers Centre (NOW Centre) perkara terbabit perlu dibawa ke pihak berkuasa Hong Kong bagi siasat lanjut.

Katanya, tindakan itu diambil ekoran tiada tindakan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diambil walaupun akaun bersumpah oleh Bekas Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dibuat dan diedarkan hampir sebulan lalu.

“Saya memandang serius dakwaan bahawa ada unsur sogokan dalam pengendalian kes Pulau Batu Putih yang membabitkan Peguam Negara seperti yang didakwa oleh Tan Sri Shafee Abdullah.

“Memandangkan dakwaan itu dibuat di dalam akaun bersumpah oleh seorang tokoh bekas pegawai kanan polis yang bersedia mempertahankannya di dalam dan luar mahkamah, saya percaya dakwaan bahawa ada unsur sogokan perlu disiasat sepenuhnya,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Rafizi berkata pihaknya akan menghantar laporan dan permohonan rasmi kepada Setiausaha Keadilan Hong Kong, Rimsky Yuen, Pengarah Pendakwaan Awam Hong Kong, Keith Yeung dan Ahli Parlimen Hong Kong, James To selepas beberapa butiran lanjut dikeluarkan.

“NOW Centre menjalin hubungan baik dengan mereka semasa siasatan terhadap salah laku rasuah Tan Sri Musa Aman dibuat tahun lalu.

“Jadi kita akan bekerjasama menyiasat dakwaan wang sogokan dimasukkan ke akaun Peguam Negara di Hong Kong.

“Setakat ini, pihak berkuasa Hong Kong berupaya dan berkuasa untuk menyiasat urusniaga pemindahan wang ke akaun di negara itu jika disyaki membabitkan wang rasuah dan penggubahan wang haram,” katanya.

Beliau percaya sekiranya siasatan dapat dimulakan di negara itu, Kerajaan Malaysia tidak mempunyai pilihan lain kecuali memberi maklumbalas akan perkara itu.

“Kita juga mendesak pihak kerajaan mengambil langkah-langkah wajar untuk mengantung sementara perkhidmatan Gani Patail sehingga siasatan di Hong Kong selesai,” katanya.

Sebelum ini, Mat Zain membuat satu akaun bersumpah mengenai perbincangannya dengan seorang peguam Umno, Shafee.

Akaun bersumpah itu berkisar tentang dakwaan penyelewengan membabitkan Gani dan dakwaan terbesar rasuah kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Dalam akaun berumpahnya, Mat Zain membuat kenyataan ‘sehubungan perkara ini, Shafee menambah secara serius, mengatakan kepada saya “you will not believe your eyes if you were to see the amount of cash that was transferred into Ganis’s account in Hong Kong…”.