Categories
SENI

Kreativiti ‘graffito’ mercu seni Darul Ehsan

Oleh Mohd Ezli Mashut
Gambar Shuaib Ayob

GRAFITI berasal dari perkataan ‘graffito’ dalam bahasa Itali membawa maksud ‘lakaran’. Ia berbeza dengan mural kerana ia menggunakan cat sembur berbanding mural yang dilukis dengan berus dan cat.

Namun, ia dianggap satu daripada cabang seni lukisan kreatif yang mempunyai nilai estetika tinggi dan sering dipelopori golongan muda.

Ironinya, grafiti dan mural masih dipandang serong di mata sebahagian masyarakat sebagai perbuatan tidak berfaedah dan membuang masa serta tenaga.

aIMG_0121Sebenarnya, seni itu wujud sejak awal sejarah ketamadunan manusia bagi menzahirkan emosi berkisar aktiviti, kehidupan seharian seperti perburuan dan pengembaraan.

Antara seni menyerupai grafiti dan mural terawal ditemui di Malaysia ialah lakaran objek  di Gua Niah, Sarawak dan Gua Tambun, Perak yang membuktikan tamadun awal manusia.

Pada zaman moden, seni grafiti dan mural itu boleh dilihat di bangunan terutama bangunan kerajaan seperti pejabat kerajaan, sekolah dan tadika.

Seni itu berevolusi sejajar kemajuan zaman dengan penerapan konsep tiga dimensi yang tampil dengan suasana ‘hidup’ bagaikan realiti tetapi ilusi.

IMG_0387

Di Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tampil dengan cara tersendiri untuk memartabat seni grafiti dan mural dengan menukar imej lorong belakang sebagai Laman Seni.

Ia kelak menjadi lokasi tumpuan penggiat seni mengadakan persembahan santai dan program kesenian, selain memberi ruang kepada pelajar memperaga hasil kerja seni, sekaligus menjadi mercu tanda baru negeri ini.

Mengikut perancangan, laman seni itu akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan (basking) sekali gus menghidupkan suasana malap di kawasan itu.

IMG_0478

Ia dijangka membawa suasana Eropah yang kerap menjadikan lorong belakang premis dan rumah sebagai kawasan santai untuk bertemu sesama jiran pada waktu senggang sambil menikmati keenakan kopi.

Mengikut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, Laman Seni itu akan ditambah beberapa kemudahan seperti bumbung dan petak berniaga bagi memastikan kawasan itu dapat digunakan tanpa mengira keadaan dan cuaca.

MBSA juga mahu melaksanakan projek sama di Seksyen 7 Shah Alam bagi menceriakan kawasan berkenaan kerana ramai pelajar institusi pengajian tinggi mendiami sekitar kawasan itu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) lain wajar mencontohi langkah MBSA yang memberi ruang kepada generasi muda menunjukkan kreativiti sekaligus memperindah kawasan.

Mungkin dalam usaha memperindah Sungai Klang sebagai tarikan baru pelancongan, usaha perlu dimulakan dengan menggalakkan aktiviti grafiti dan mural di tebing sungai.

Ia pasti menjadi nilai tambah produk pelancongan Sungai Klang apabila pelancong dapat menikmati keindahan Sungai Klang persis menyusuri sungai di bandar raya Eropah.

aIMG_0198Projek lukisan mural di bangunan lama sepanjang Sungai Melaka juga boleh dijadikan contoh bagaimana ia menjadi tarikan baru di kawasan berkenaan.

Hampir semua bangunan dihiasi lukisan mural yang menggambarkan sejarah awal Melaka, kegemilangan Kesultanan Melaka termasuk kepahlawanan Hang Tuah, Hang Jebat, Puteri Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho.

Selain itu, banyak lukisan mural pada deretan bangunan lama yang dilukis di bangunan sejarah di Melaka seperti Kota A’Famosa dan Stadhuys.

Di ibu negara, antara dekorasi yang menarik menghiasi Kuala Lumpur suatu ketika dahulu ialah lukisan mural yang menghiasi tembok Penjara Pudu.

Penumpang bas menuju Puduraya pasti melewati karya seni bertema pemandangan hutan tropika dan jika bernasib baik, kelihatan banduan ‘bekerja’ menyiapkan lukisan itu.

IMG_0125

Idea lukisan itu datangnya dari dramatis terkenal tanah air, Abu Bakar Juah yang bertugas sebagai pegawai penjara mulai 1975 hingga 1986, apabila mengusulkan supaya Rock Garden dibina sepanjang tembok luar penjara berkenaan.

Bagi mencantikkan lagi tembok yang kosong, idea melukis kemudian dilontarkan rakan setugas Abu Bakar, Mohd Rashidi Samsuddin.

Mulai 1983, seorang banduan, Khong Yen Chong ditugaskan melukis mural dengan dibantu beberapa banduan lain. Menariknya, tempoh pembebasan Khong Yen Chong tiba sebelum sempat lukisan disiapkan.

Namun, atas rasa tanggungjawab, beliau kembali ke penjara untuk menghabiskan lukisan mural berkenaan tetapi bukan sebagai seorang banduan tetapi sebagai seorang rakyat yang insaf dan bebas.

Pada 1984, lukisan tembok penjara itu dicatat dalam Guiness Book of World Records sebagai lukisan mural terpanjang di dunia, dengan ukuran 860 kaki panjang dan ketinggian 14 kaki.

Khong Yen Chong dan rakan-rakannya menyiapkan lukisan itu dalam tempoh 17 bulan menggunakan kira-kira 2,000 liter cat.

Jangan pula jadi seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang memadam grafiti karya artis muda kelahiran Lithuania , Ernest Zacharevic semata-mata memaparkan peragut menunggu ‘wanita lego’ bersama beg tangan Chanel bagi menggambarkan situasi jenayah di negara ini.

Dalam grafiti itu, Zacharevic berusia 27 tahun, melukis sejambak bunga di hujung pisau peragut manakala peminatnya melukiskan watak polis lego bersebelahan peragut.

IMG_0148

Aktiviti grafiti dan mural perlu digalakkan bagi mengubah tanggapan serong, sebaliknya menjadi medan menyerlahkan bakat kreativiti dengan lukisan yang bermotif positif selain memperindah sesuatu kawasan.

Justeru, pihak berkuasa tempatan di negara ini perlu berfikiran terbuka supaya graviti dan mural terus semarak di samping dapat memperindah kawasan yang suram dan lesu.

* Mohd Ezli Mashut ialah Penolong Editor Selangor Kini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.