Categories
SELANGOR

MAPMAS siasat rumah kebajikan guna kanak-kanak kutip derma

Oleh: Norhayati Umor

AMPANG 29 DIS : Majlis Antipemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS) dalam usaha untuk menyiasat rumah-rumah kebajikan yang mempergunakan kanak-kanak bagi tujuan mengutip derma di negeri itu.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata pihaknya bekerjasama dengan badan yang terbabit bagi menyiasat dan membanteras aktiviti itu hingga ke akar umbi.

rodziahKatanya, MAPMAS memberi perhatian serius terhadap isu pemerdagangan manusia yang membabitkan pelbagai jenis eksploitasi dikalangan pelbagai peringkat lapisan masyarakat.

“Ketika ini banyak kes kanak-kanak yang digunakan bagi tujuan mengutip derma. Jadi perkara ini perlu diberi perhatian serius.

“Ada dikalangan mereka ini berselindung di sebalik kegiatan rumah kebajikan, jadi kita ketika ini sedang bekerjasama dengan beberapa agensi supaya menyiasat rumah-rumah kebajikan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini ketika ditemui selepas Program Advosaki Anti Pemerdagangan Manusia, di Pangsapuri Indah, Bukit Permai, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak MAPMAS, Rozaini Mohd Rosli.

Rodziah memaklumkan setakat penubuhan MAPMAS pada 2011, organinasi terbabit menerima sebanyak 817 kes diadukan.

“Selama dua tahun penubuhan MAPMAS ditubuhkan, setakat ini 12 Pihak Berkuasa Tempatan juga sudah mewujudkan jawatankuasa dalam menangani isu ini.

“Kita juga memberi mereka latihan kepada seluruh pimpinan masyarakat dan ketika ini kita sedang dalam peringkat untuk turun ke padang bagi menjelaskan kepada rakyat tentang isu pemerdagangan manusia ini sebagai memberi kesedaran kepada mereka,” katanya.

Beliau memaklumkan statistik kes yang diadukan itu terdiri daripada kes membabitkan warga luar kebanyakkannya manakala tempatan hanya sebilangan kecil setakat ini.

MAPMAS dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 10 Januari 2011.

Ia merupakan organisasi khas untuk menangani jenayah pemerdagangan manusia di peringkat negeri Selangor dengan pelan tindakan yang digariskan oleh Jawatankuasa Bertindak MAPMAS.

Langkah itu selari dengan kehendak negara yang mewujudkan Akta Anti Pemerdagangan Orang bagi mengatasi masalah itu.

MAPMAS memberi fokus kepada tiga aspek antaranya perlindungan kepada mangsa, pendakwaan dan pemerdayaan masyarakat dan pencegahan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.