Categories
BERITA UTAMA

Misi merealisasi melawan regim guna satu logo

Oleh Badrul Hisham Shaharin

KALI terakhir mendengar usaha serius dalam mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti ke arah bertanding pilihan raya dengan satu logo ialah ketika usaha itu diterajui oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Namun selepas Zaid keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menubuhkan parti lain jujurnya langsung tidak kedengaran usaha serius dalam perkara ini.

Tanpa berselindung, usaha ini harus menjadi tumpuan utama semua Setiausaha Agong Parti Gabungan Pakatan Rakyat kerana tanpa merealisasikan gabungan politik atau bertanding dengan satu logo, yakinlah usaha mengambil alih negara pasti sedikit terganggu.

Ada baik buruknya bertanding atas satu logo.

prHujah aspek buruk yang sering dihujahkan ialah pengundi tradisi akan sedikit terganggu ketika mengundi kerana pengundi pendalaman Kelantan akan tercari-cari ‘Bulan’ atau pengundi di Kampung Baru Cina akan tercari-cari ‘Roket’.

Ini hujah dangkal kerana jika dibuat dari awal sudah tentu semua akan berjaya disedarkan dengan kewujudan satu logo PR.

Satu lagi faktor yang mungkin ramai yang menggunakan hujah ini terlupa ialah ramai antara pengundi sebenarnya lebih kepada mengosongkan kotak berlogo BN (anti-BN) dan memilih alternatif selain BN.

Maka, kewujudan satu logo berlawan BN lebih menyakinkan pengundi yang mengundi kerana sentimen menolak BN. Juga dalam dunia media baru ini sudah tentu tak sesukar dahulu kempen memperkenalkan logo gabungan PR itu nanti.

Bertanding dengan satu logo juga akan memudahkan kawalan disiplin seperti bertanding semasa gabungan PR yang kesannya bukan sahaja di kawasan ditandingi tetapi menyeluruh seluruh negara.

Kawalan displin juga akan lebih mudah contohnya anggota parti didapati berkempen untuk calon bukan gabungan Pakatan Rakyat tidak boleh diambil tindakan kerana dia tidak menentang partinya kerana parti gabungan longgar yang bertanding.

Jika bertanding dengan satu logo maka hanya satu watikah akan keluar maka dapat dielakkan lobi saat akhir sehingga parti sendiri mengeluar watikah bagi melawan kawasan yang telah diperuntukan untuk parti gabungan PR yang lain.

Contohnya, Presiden sebuah parti gabungan PR sendiri turun berkempen bagi meraih undi calon bebas yang melawan calon gabungan parti PR ini pasti merumitkan keadaan.

Tahukah bahawa antara alasan Gabungan PR ditolak kerana Pendaftar Pertubuhan mensyaratkan tidak kurang dari tujuh parti politik atau tujuh organisasi perlu bergabung untuk mewujudkan sebuah pakatan atau majlis.

Jika ini antara alasanya, maka perlu diselesaikan segera. PR seharusnya membuka lembaran baru pakatan politik yang bukan sahaja mengandungi parti politik tetapi organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk melengkapkan angka.

Semua orang tahu Pilihan raya Negeri Sarawak akan muncul sekitar dua tahun lagi dan empat tahun akan datang Pilihan Raya Umum (PRU) pula. Sewajarnya pimpinan PR itu sendiri juga sedar hakikat ini.

Logo-PKR-DAP-PAS

Maka, apa persiapan serius dalam merialisasikan gabungan politik satu logo bagi menentang BN?

Jangan bila sudah dekat PRU, maka pertembungan semasa PR berlaku dan akhirnya alasan sama dinyanyikan kerana regim takut mendaftarkan PR sebagai entiti sah, bukan apa takut rakyat bosan dengan alasan sama.

Pengalaman Parti Sosialis Malaysia (PSM) wajar dijadikan sandaran, tiada siapa menyangka pada ketika PSM menghantar permohonan (1998) untuk kelulusan parti tersebut mampu diluluskan dengan mengekalkan nama sosialis itu .

Namun kerana istiqamah dan fokus PSM tak berganjak maka akhirnya PSM berjaya didaftarkan tahun 2008. Pengalaman ini harus dijadikan sandaran. Jika tidak bawa sahaja masuk PSM dalam Pakatan Rakyat dan berikan tanggungjawab kepada Setiausaha Agung PSM untuk mengepalai misi mendaftarkan PR itu.

Ya, memang regim takut untuk membenarkan gabungan politik sah melawan mereka namun masih banyak ruang untuk merealisasikannya jika kita serius untuk mendepani BN melalui pilihan raya. – 23 Disember 2013

* Badrul Hisham adalah nama sebenar che’GuBard yang mengetuai  Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Leave a Reply

Your email address will not be published.