Categories
NASIONAL

Khalid Samad cadang Datuk Bandar, YDP dipilih melalui pilihan raya

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 23 DIS: Kerajaan Selangor disarankan membuat pemilihan jawatan Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu daripada kalangan individu yang dipilih rakyat melalui pilihan raya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata golongan dipilih rakyat lebih peka dan prihatin terhadap permasalahan rakyat berbanding Datuk Bandar atau YDP yang dilantik menerusi lantikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ada Datuk Bandar tidak kisah keputusannya mampu beri impak negatif terhadap kehidupan rakyat, dia main langgar sahaja kerana tidak dipilih rakyat, rakyat marah pun tiada kesan, dia tidak kisah.

khalid samad“Bagi dia asalkan rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri sudah cukup, kalau orang marah apa dia kisah, bukan orang ramai lantik dia,” kata Khalid pada sidang media di pejabatnya di Seksyen 13 di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga mendapati terdapat Datuk Bandar dan YDP yang mengambil keputusan tidak selaras dengan dasar yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.

Khalid menambah, pemilihan boleh dibuat menerusi pilihan raya tempatan atau memilih salah seorang dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan terlibat.

“Pilihan Raya Ahli Majlis Tempatan bukan sahaja berkisar kepada pemilihan Ahli Majlis tetapi Datuk Bandar juga boleh dipilih melalui pilihan raya ini.

“Kalau pilihan raya memilih Datuk Bandar tidak dapat diadakan ketika ini,Kerajaan Negeri boleh melantik salah seorang Adun.

“Atau pihak lain seperti Ahli Parlimen sebagai Datuk Bandar kerana mereka lebih faham rakyat punya kuasa untuk menukar Datuk Bandar yang lain sekiranya tidak berpuas hati,” kata Khalid lagi.

Katanya, Adun yang dilantik itu pula hendaklah memenangi salah satu DUN di kawasan PBT terbabit dengan mengambil kira tidak memegang sebarang jawatan lain dalam Kerajaan Negeri.

“Kita akan dapat Datuk Bandar lebih responsif dan bertanggungjawab atas apa jua keputusan dan dasar baru dilaksanakan pihak PBT atau Kerajaan Negeri,” kata Khalid.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.