Categories
SELANGOR

MB: Penghuni lebih 10 tahun mungkin terima milikan tanah

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 2 DIS : Individu yang didapati menetap sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun atas tapak rumah di Selangor berkemungkinan menerima milikan tanah daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pemberian milikan itu boleh dilaksanakan selagi tanah yang didiami individu terbabit tidak melanggar peraturan antaranya tidak dibina atas tanah rizab sungai atau hutan.

sidang dun bersidang 1Katanya kerajaan negeri tidak membenarkan pembangunan di atas rizab sungai kerana bimbang akan menyekat pembangunan masa depan jika ingin dilaksanakan.

“Kita mula membuat data berkenaan pemilikan tanah negeri sama ada tanah yang diberi pemilikan sementara atau tanah kerajaan yang sudah tidak diberikan milikan kepada sesiapa dan tanah rizab hutan serta sungai.

“Kerajaan negeri juga mula menghentikan pencerobohan ke atas tanah kerajaan. Polisi sekarang adalah untuk memberi milikan tanah khusus buat mereka yang tidak mempunyai tapak rumah dan sudah duduk di atas tanah berkenaan lebih 10 tahun,” katanya ketika menjawab pertanyaan Razaly Hassan (PAS-Dusun Tua) berhubung tanah rizab, di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Pada masa sama, Abdul Khalid turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang begitu rakus menjalankan aktiviti pencerobohan tanah atas dasar untuk mendapatkan pemilikan dan meraih keuntungan.

Katanya, pencerobohan itu kebanyakannya membabitkan golongan profesional untuk menjual tapak tanah itu kepada pembeli.

“Mungkin mereka rasa akan memperolehi pemilikan dengan melobi kerajaan selepas membuat pembangunan di atas sesebuah tapak tanah.

“Sebagai contoh, terdapat sekumpulan peneroka membuka tanah dan menjual sebahagiannya bagi melobi tanah itu dan menamakannya sebagai Kampung Tan Sri Abdul Khalid. Malangnya, ia tetap tidak diluluskan dan jangan cuba lobi dengan cara ini kerana tidak akan berkesan,” katanya.

Katanya, pembelian tanah untuk tujuan kebajikan akan dikira melalui nilai bersih pembangunan, manakala bagi perniagaan pula mengikut harga pasaran.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.