Categories
SELANGOR

Penyertaan aktif ADUN pembangkang positif untuk demokrasi

Oleh : Lizawati Madfa

PETALING JAYA 3 DIS : Penyertaan aktif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sepanjang persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) lalu dilihat sebagai perkembangan sihat yang dinantikan, sejak 2008.

Exco Kanan Negeri yang juga mantan Speaker, Datuk Teng Chang Khim, berkata perkembangan itu juga membuktikan bahawa usaha yang dilaksanakan Pakatan Rakyat (PR) dalam menyubur demokrasi di Selangor akhirnya membuahkan hasil.

10aKatanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan penyertaan sepenuhnya daripada setiap ADUN sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang sejak penggal pertama lagi.

“Pada penggal kedua ini, nampaknya pembangkang tergerak hati untuk lebih aktif dan proaktif dalam usaha mereka memastikan pentadbiran kerajaan negeri sentiasa dikawal, diselia dan dipantau dewan.

“Ini memang bagus kerana setiap ahli dewan itu mempunyai peranan yang sama atas nama demokrasi yang sebenarnya,” katanya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor berkata demikian bagi mengulas berhubung penyertaaan 12 ADUN BN dalam sidang DNS yang berakhir, 2 Disember lalu.

Katanya, kerajaan negeri melalui DNS dalam proses untuk meminda peraturan tetap bagi mewajibkan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) disandang ketua pembangkang.

“Sebenarnya sebelum ini, dua kali kita usulkan untuk ketua pembangkang mempengerusikan PAC namun ditolak. Jadi kita terpaksa meminda peraturan supaya tawaran jawatan itu tidak boleh ditolak lagi,” katanya.

Semalam, Speaker Dewan, Hannah Yeoh dalam sidang media bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut memuji penyertaan baik ADUN BN terutama Shahrum Mohd Sharif (Dengkil) sepanjang sidang DNS dan komitmennya menyediakan salah satu laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi, Badan Berkanun Dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JPK-ABAS).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.