Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat didakwa gagal bayar insentif nelayan

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 3 DIS : Kerajaan pusat gagal melangsaikan tunggakan bayaran insentif hasil tangkapan lebih RM100 juta kepada nelayan seluruh negara, sejak Julai lalu.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, berkata kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani didapati gagal menjelaskan bayaran subsidi hasil tangkapan sebanyak 10 sen sekilo seperti yang dijanjikan.

nga kor ming web 01Beliau berkata, kementerian menerima peruntukan RM6.03 bilion dalam Bajet 2014 dan mempunyai kemampuan untuk menanggung bayaran kepada nelayan terutama Jabatan Perikanan yang diberi peruntukan RM240.5 juta untuk pelaksanaan program itu.

“Saya menerima aduan daripada nelayan di kawasan Hutan Melintang, Pantai Remis, Sungai Besar dan Kuala Sepetang bahawa kementerian gagal menjelaskan tunggakan bayaran insentif ini.

“Nelayan sudah mengemukakan tuntutan tetapi kerajaan gagal menjelaskan bayaran seperti yang dijanjikan dan kini sudah masuk bulan kelima,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen,di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya mengambil tindakan segera terhadap bayaran tertunggak itu kerana bakal menjejaskan pendapatan nelayan.

nelayanKor Ming berkata, warga nelayan terpaksa menanggung tekanan hidup yang tinggi akibat kenaikan diesel, dasar pukat keroncong 38 milimeter (mm) dan larangan mengupah buruh asing untuk menangkap ikan.

“Selain bayaran tunggakan insentif tangkapan ikan, saya juga menggesa kerajaan supaya mengumumkan laporan pakar berkecuali ke atas dasar pukat keroncong 38 mm yang membabitkan nelayan pulau laut, pada November lalu.

“Tanpa laporan pakar berkecuali, nelayan tidak mempunyai keyakinan bahawa pelaksanaan dasar itu dapat membela sumber laut. Satu kajian pakar berkecuali juga harus dijalankan untuk meyakinankan nelayan, selain kementerian perlu terus berdialog dengan mereka kerana perikanan adalah sumber protein utama rakyat negara ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.